Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sayembara Penulisan Buku Kanak-kanak Kini Dibuka Kepada Peserta Antarabangsa

20/05/2026 03:54 PM

BANGI, 20 Mei (Bernama) -- Sayembara Penulisan Buku Kanak-kanak dan Remaja Antarabangsa 2026 buat pertama kalinya membuka penyertaan kepada peserta luar negara, bagi memperluas usaha memperkaya khazanah persuratan bahasa Melayu pada peringkat global.

Pengerusi penganjur sayembara itu Senator Datuk Seri Prof Emeritus Dr Awang Sariyan berkata langkah berkenaan, bertujuan meraikan minat warga asing terhadap bahasa Melayu, selaras dengan perkembangan pengajian bahasa itu di pelbagai negara termasuk China, Jepun, Jerman dan Rusia.

“Setahu saya ini kali pertama (dibuka kepada peserta luar), kerana kebiasaannya dianjurkan untuk warga negara Malaysia. Kita berada dalam zaman globalisasi dan perlu meraikan warga antarabangsa yang memberi perhatian kepada bahasa Melayu,” katanya pada sidang media Sayembara Penulisan Buku Kanak-kanak dan Remaja Antarabangsa 2026 di sini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata penglibatan peserta antarabangsa itu juga diyakini dapat menyokong agenda diplomasi budaya negara selain mengangkat bahasa, sastera dan ilmu tempatan melalui karya yang dihasilkan.

“Kita harap peserta di luar negara akan menjadi duta kecil yang membantu mengangkat martabat bahasa, sastera dan ilmu watan kita, selain menyumbang kepada usaha memperkenalkan tradisi warisan pelbagai negara,” katanya.

Awang Sariyan berkata antara objektif utama sayembara itu adalah untuk menambah kekayaan khazanah ilmu negara, meningkatkan jumlah penulis berwibawa serta menyediakan bahan bacaan bermutu tinggi untuk golongan muda.

Ad Banner
Ad Banner

“Dalam sejarah tamadun manusia sedunia, ilmu dan sastera menjadi prasyarat untuk sesuatu tamadun itu bertahan, berkembang dan maju. Sebab itu kita perlu membentuk penulis dalam kalangan anak-anak dan remaja supaya mereka dapat menghasilkan karya untuk rakan sebaya mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Editor Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Rosmani Omar menyifatkan penganjuran sayembara itu, sebagai usaha wajar bagi meningkatkan kuantiti penerbitan industri buku negara.

“Usaha yang baik ini perlu sentiasa digiatkan bagi memperkasakan bahasa Melayu, bukan sahaja pada peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa,” katanya.

Sayembara anjuran Sanggar Ilmu Sdn Bhd dan Penerbit Pelangi Sdn Bhd dengan kerjasama DBP itu terbuka kepada peserta berusia 12 tahun ke atas, melibatkan tiga kategori iaitu Karya Kreatif, Karya Informatif Kreatif dan Karya Adaptasi.

Selain menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM2,000 mengikut kategori berserta sijil, karya yang memenangi sayembara atau berpotensi juga akan dipertimbangkan untuk diterbitkan.

Tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada 31 Julai ini, manakala keputusan pemenang dijangka diumumkan pada 31 Ogos sempena sambutan Hari Kebangsaan. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai sayembara itu, boleh menghubungi pihak penganjur menerusi e-mel sanggarilmu.sdbhd@gmail.com atau talian 012-3980133.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan