Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Sabah Terus Perkasa Institusi Adat Anak Negeri

20/05/2026 04:01 PM

TONGOD, 20 Mei (Bernama) -- Institusi Adat Anak Negeri Sabah terus diperkukuh menerusi pembangunan infrastruktur serta penambahbaikan sistem pentadbiran adat, selaras agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan kesejahteraan dan kestabilan negeri itu.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata komitmen itu diterjemahkan antaranya melalui pembinaan Mahkamah Anak Negeri di beberapa daerah termasuk Tongod, Putatan, Nabawan, Papar, Tamparuli dan Sook.

“Kerajaan negeri bukan hanya menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan fizikal tetapi turut menitikberatkan pengukuhan institusi rakyat termasuk Mahkamah Anak Negeri sebagai wadah penting memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan budaya di Sabah.

Ad Banner
Ad Banner

“Usaha memperkukuh institusi mahkamah itu diteruskan dengan memastikan bidang kuasanya jelas dan mencukupi, selain penambahbaikan prosedur yang lebih moden, teratur serta berkesan selaras keperluan semasa, di samping disokong pegawai berintegriti dan berwibawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod di sini, hari ini.

Hajiji turut mengingatkan ketua adat dan warga Mahkamah Anak Negeri supaya meningkatkan prestasi dalam mengurus serta menyelesaikan aduan dan pertikaian membabitkan komuniti anak negeri.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri akan terus memastikan penduduk Sabah mendapat akses kepada kemudahan asas, peluang ekonomi dan kualiti hidup lebih baik menerusi pembangunan wilayah yang seimbang.

Menurut Ketua Menteri, Tongod mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan ekopelancongan, selain dikenali sebagai ‘The Heart of Sabah’ berikutan kedudukannya di tengah-tengah negeri itu serta kekayaan alam semula jadi, hutan tropika dan biodiversiti unik.

Katanya keindahan alam semula jadi Tongod termasuk Imbak Canyon mampu menarik lebih ramai pelancong, sekali gus membantu menjana ekonomi penduduk setempat.

Beliau turut optimis Tongod akan berubah wajah sekiranya cadangan pihak swasta dengan kerjasama kerajaan negeri untuk membangunkan pekan baharu di kawasan seluas 1,000 ekar menjadi kenyataan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan