PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menambah baik sistem e-Lesen bagi memudahkan proses pembaharuan lesen perniagaan, dengan tempoh urusan secara dalam talian hanya mengambil kira-kira tiga minit.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata menerusi sistem itu, pemegang lesen tidak lagi perlu hadir ke pejabat DBKL kerana pembayaran boleh dibuat melalui platform pembayaran dalam talian sebelum pemohon mencetak sendiri lesen.
“Sistem ini membolehkan data lesen dipantau secara masa nyata, termasuk jumlah permohonan yang sedang diproses dan lesen aktif.
“Kita juga memperkenalkan penggunaan kod bar bagi tujuan pemantauan (di lapangan),” katanya pada sidang media berkaitan penambahbaikan sistem e-Lesen di sini hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Fadlun berkata ketika ini, terdapat kira-kira 42,000 permohonan sedang diproses dan 92,263 lesen aktif.
“Lesen ini bersifat dinamik dan sentiasa meningkat setiap hari,” katanya.
Beliau berkata proses pembaharuan juga dipermudah apabila pengguna hanya perlu membuat beberapa klik untuk mengakses senarai lesen aktif dan memperbaharui lesen secara terus menerusi sistem.
Berhubung pemegang lesen mempunyai tunggakan, Fadlun berkata mereka perlu menyelesaikannya terlebih dahulu sebelum layak menikmati diskaun 10 peratus serta pembaharuan lesen bagi tempoh tiga tahun.
Beliau berkata DBKL sedia membantu peniaga yang kurang mahir menggunakan teknologi maklumat untuk urusan permohonan dan pembaharuan lesen.
Beliau berkata golongan itu boleh hadir ke pejabat DBKL untuk mendapatkan bantuan dan masih layak menikmati diskaun yang ditawarkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial