Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lebih 400,000 Kenderaan Dijangka Masuk Terengganu Sempena Aidiladha, Cuti Sekolah

20/05/2026 06:56 PM

CHUKAI, 20 Mei (Bernama) -- Sebanyak 401,000 kenderaan dijangka memasuki Terengganu sempena Aidiladha dan cuti persekolahan bermula Jumaat ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata jumlah tersebut melibatkan kenderaan yang menggunakan jalan Persekutuan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Beliau berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan pemantauan tahunan yang dilakukan secara kolaboratif bersama LPT2 berdasarkan data dan rekod tahunan.

Ad Banner
Ad Banner

"Jumlah peningkatan aliran trafik ini dijangka berlaku di LPT2 dan jalan-jalan utama di negeri ini. Purata kemasukan trafik harian pula dianggarkan sebanyak 33,000 hingga 34,000 kenderaan sepanjang tempoh ini," katanya selepas merasmikan Program Transformasi Pelajar MADANI di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Kamsah @ Kamal Mohamed.

Mohd Khairi berkata Polis Terengganu akan melaksanakan Ops Lancar secara menyeluruh di lokasi panas dan kawasan yang dijangka mengalami pertambahan kenderaan dalam tempoh perayaan dan cuti berkenaan.

"Sebanyak 500 anggota dan pegawai polis dari semua daerah akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang tempoh itu," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata pihaknya merekodkan empat kes buli membabitkan pelajar di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

"Empat kes buli itu melibatkan tiga murid sekolah rendah manakala satu lagi membabitkan pelajar sekolah menengah," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan