KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Terminal pengangkutan awam utama di sekitar ibu negara mula dibanjiri orang ramai yang ingin pulang lebih awal ke kampung halaman bersempena dengan cuti panjang dan Aidiladha yang akan disambut tidak lama lagi.
Tinjauan Bernama mendapati suasana di beberapa terminal utama termasuk Terminal Bersepadu Gombak (TBG), Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan KL Sentral semakin sibuk dengan kehadiran penumpang yang membuat persiapan perjalanan pulang ke kampung, termasuk urusan pembelian tiket di kaunter yang disediakan.
Wakil Pengurusan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) Sdn Bhd Mohd Raimi Jusoh berkata jualan tiket bersempena dengan musim perayaan itu telah dibuka sejak dua bulan lepas bagi memberikan ruang kepada penumpang merancang perjalanan dengan lebih teratur.
Beliau berkata purata jualan tiket pada hari biasa kira-kira 1,000 keping sehari, namun meningkat mendadak kepada kira-kira 7,000 keping sehari sepanjang tempoh cuti panjang dan Aidiladha kali ini.
“Di TBG berlaku peningkatan ketara dalam jualan tiket serta jumlah perjalanan bas bagi musim Aidiladha yang kebetulan bertembung dengan cuti sekolah yang panjang.
“Terminal ini sememangnya dikenali sebagai pintu masuk ke Pantai Timur dengan kira-kira 70 hingga 80 peratus operasi bas menghala ke destinasi berkenaan, namun sebenarnya ia merupakan terminal terbuka untuk pelbagai laluan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Mohd Raimi berkata bagi menampung peningkatan permintaan, jumlah perjalanan bas ditambah kepada antara 200 hingga 210 perjalanan sehari berbanding kira-kira 150 perjalanan pada hari biasa selepas mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Beliau berkata tempoh cuti sekolah selama dua minggu turut memberikan fleksibiliti kepada pengguna untuk merancang perjalanan lebih awal, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan saat akhir seperti yang lazim berlaku ketika Aidilfitri.
Selain itu, katanya, pihak pengurusan TBG turut bekerjasama dengan beberapa sekolah berasrama penuh di Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan dengan menyediakan 14 bas khas bagi memudahkan pergerakan pelajar.
Sementara itu, penumpang Muhammad Aiman Nor Hakim, 25, berkata dia membeli tiket dua minggu lebih awal menerusi aplikasi tempahan bas bagi mengelakkan masalah kehabisan tiket dan kenaikan harga pada saat-saat akhir.
“Saya tinggal di Setapak dan akan pulang ke Bachok, Kelantan untuk beraya bersama-sama keluarga. Tempahan awal ini juga lebih menjimatkan kerana harga tiket biasanya lebih mahal apabila hampir musim perayaan,” katanya yang pertama kali menggunakan perkhidmatan bas di TBG.
Dalam pada itu, operator pengendali TBS, syarikat TMAS Sdn Bhd berkata jualan tiket di terminal itu mula direkodkan hari ini dan dijangka berterusan hingga 26 Mei ini, dengan momentum permintaan kekal tinggi hingga 7 Jun.
Ketua Pegawai Eksekutif TMAS Sdn Bhd Shazwan Mohammad berkata kira-kira 50 bas tambahan disediakan bagi semua destinasi berdasarkan laluan yang diluluskan APAD kepada pengendali bas.
“Secara keseluruhan, berlaku peningkatan kira-kira 20 peratus berbanding musim perayaan tahun lepas, didorong gabungan sambutan Aidiladha dan cuti sekolah,” katanya.
Beliau berkata pihak TBS turut melaksanakan penambahbaikan sistem dan penyelenggaraan berjadual bagi memastikan operasi berjalan dengan lancar sepanjang tempoh puncak selain menambah tenaga kerja.
Tinjauan di KL Sentral pula mendapati orang ramai mula pulang ke destinasi masing-masing dengan kebanyakan pengguna perkhidmatan tren elektrik (ETS) memilih menempah tiket lebih awal.
Penumpang, Zanariyah Awang, 60, berharap syarikat pengangkutan dapat menambah lebih banyak koc tren bagi menampung peningkatan jumlah penumpang sepanjang musim perayaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial