Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPDN Laksana SHMMP Sempena Kaamatan, Gawai Berkuat Kuasa 27 Mei Hingga 4 Jun

22/05/2026 04:43 PM

RANAU, 22 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena kemuncak Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 yang akan berkuat kuasa mulai 27 Mei hingga 4 Jun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata skim itu melibatkan keseluruhan 12 jenis barangan bagi Sabah dan Sarawak serta 11 jenis barangan bagi Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pelaksanaan skim selama sembilan hari itu mengambil kira kepentingan pengguna dan peniaga bagi memastikan barangan keperluan dapat diperoleh pada harga berpatutan tanpa membebankan komuniti perniagaan,” katanya selepas meninjau Program Jualan Rahmah (PJR) MADANI di Kundasang dekat sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Armizan berkata bagi SHMMP Pesta Kaamatan 2026 di Sabah, sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 10 jenis pada tahun lepas, dengan penambahan halia tua import dan ubi kentang dari China.

“Barangan terlibat ialah babi hidup, daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import dari India, kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil dari India, bawang putih dari China, bawang kuning besar, bawang merah besar, halia tua import dan ubi kentang dari China.

“Bagi Labuan pula, 11 jenis barangan disenaraikan, iaitu daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import dari India, kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil dari India, bawang putih dari China, bawang kuning besar, bawang merah besar, halia tua import dan ubi kentang dari China,” katanya.

Armizan berkata perbandingan pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan bagi 2025 dan 2026 menunjukkan trend harga lebih stabil di Sabah dan Labuan apabila enam barangan mencatat penurunan harga manakala beberapa barangan lain kekal pada harga sedia ada.

Beliau berkata bagi SHMMP Hari Gawai 2026 di Sarawak pula, sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 11 jenis tahun lepas dengan penambahan daging kerbau import dari India.

“Antara barangan yang terlibat ialah babi hidup, daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), ayam tua hidup, kepak ayam, kubis bulat import, bawang putih dari China, cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan,” tambahnya.

Armizan berkata SHMMP dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dan membolehkan penetapan harga maksimum bagi barangan terlibat.

“KPDN akan menempatkan pegawai penguat kuasa di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat beli-belah bagi memastikan pematuhan terhadap skim berkenaan,” katanya.

Beliau berkata peniaga yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000.

“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu untuk barangan terkawal pula, individu boleh didenda sehingga RM10,000 dan syarikat sehingga RM20,000,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan