DENGKIL, 22 Mei (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memaksimumkan penggunaan dron sepanjang Ops Hari Raya Aidil Adha (Ops HRAA) yang dilaksana dari 24 hingga 31 Mei ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Malaysia Datuk Jazmanie Shafawi berkata sebanyak enam dron akan digunakan di kawasan panas, atau hotspot, untuk mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.
"Kita akan menggunakan dron secara maksimum untuk mengesan kesalahan seperti memotong di garisan berkembar atau menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya.
"Sebelum ini (Ops Hari Raya Aidilfitri pada Mac lepas), dron hanya digunakan pada waktu tertentu tetapi kali ini, sepanjang Ops HRAA kita akan guna dron," katanya kepada pemberita selepas melancarkan operasi berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata antara 288 hotspot yang sering berlaku kemalangan ialah laluan dari Kuala Lipis ke Gua Musang, Gua Musang ke Kuala Krai, Gerik ke Jeli, Hulu Terengganu ke Kuala Terengganu, Segamat ke Mersing dan Terowong Menora ke Sungai Perak.
Jazmanie berkata penggunaan dron mula dilaksanakan pada Ops Hari Raya Aidilfitri lepas dan hasilnya, JPJ telah mengeluarkan 5,000 notis temu siasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan Ops HRAA memfokus kepada pendekatan penguatkuasaan secara menyeluruh dan berstrategi menerusi konsep Perception of Being Caught termasuk meningkatkan kehadiran anggota penguat kuasa di lokasi tumpuan, laluan utama persekutuan, lebuh raya, terminal pengangkutan awam serta 288 hotspot kemalangan di seluruh negara berteraskan slogan “Pandu Cermat, Sampai Selamat”.
"Sepanjang operasi dilaksanakan, JPJ akan memberi tumpuan terhadap sembilan kesalahan yang dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada kemalangan jalan raya," katanya.
Jazmanie berkata kesalahan itu meliputi kegagalan mematuhi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas (lampu merah), memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, membawa lebih muatan dan membawa muatan secara berbahaya.
Beliau berkata JPJ akan turut mempertingkat penguatkuasaan ke atas kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam melibatkan aspek teknikal, pematuhan GPS, Peranti Had Kelajuan (SLD), Audit Keselamatan (JISA) serta permit pengendali.
Jazmanie berkata operasi turut diperkukuh melalui penggunaan teknologi dan aset penguatkuasaan seperti Kamera Aksi Pengawasan (EAC), Kamera Badan (BWC) selain rondaan serta pemantauan melibatkan 2,500 pegawai dan kakitangan JPJ bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih cekap, telus serta berkesan.
"Selain itu, operasi khas terhadap penunggang motosikal turut dilaksanakan bagi meningkatkan pematuhan dan mengurangkan risiko kemalangan melibatkan golongan penunggang motosikal yang kekal menjadi antara kumpulan pengguna jalan raya paling berisiko.
"JPJ ingin menegaskan bahawa sebarang bentuk pelanggaran undang-undang jalan raya akan dikenakan tindakan tegas," katanya.
Beliau juga mengingatkan pengguna jalan raya untuk sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi undang-undang dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial