Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

FMM Sambut Baik Perluasan Inisiatif Simen Rahmah

23/05/2026 12:31 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mengalu-alukan perluasan inisiatif Simen Rahmah dan menyifatkannya sebagai tepat pada masa untuk menyokong agenda perumahan mampu milik kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Presiden FMM Jacob Lee Chor Kok berkata perluasan inisiatif di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu yang menawarkan simen pada harga kira-kira 30 peratus di bawah harga pasaran semasa untuk projek perumahan mampu milik di bawah kerajaan persekutuan dan negeri serta sektor swasta akan membantu mengurangkan tekanan kos yang timbul daripada peningkatan kos input dan pembinaan.

Menerusi skim yang diperluas itu, simen pukal akan ditawarkan pada harga RM290 setan berbanding harga pasaran semasa iaitu RM425 setan, manakala simen standard 50 kilogram (kg) dalam beg akan dijual pada harga RM17.50 setiap beg berbanding RM24.90 setiap beg.

Ad Banner
Ad Banner

"Pengurangan ini dijangka dapat meringankan beban kos pemaju dan membantu meningkatkan kemampuan membeli pembeli rumah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata FMM maklum bahawa tekanan kos dalam sektor pembinaan dan pembuatan terus dipengaruhi oleh ketidaktentuan global, termasuk turun naik harga tenaga dan cabaran rantaian bekalan yang berterusan.

"Dalam konteks ini, langkah-langkah yang membantu menstabilkan kos bahan binaan penting kritikal dalam mengekalkan aktiviti pembangunan dan memperkukuh daya tahan ekosistem perumahan," katanya.

Beliau berkata FMM percaya intervensi bersasar seperti inisiatif Simen Rahmah menunjukkan bahawa kerjasama praktikal dan didorong hasil penting dalam menangani cabaran ekonomi di samping menyokong keutamaan pembangunan negara.

FMM juga berharap agar konsep ini dapat diperluaskan kepada bahan binaan buatan tempatan lain yang turut penting dalam pembangunan perumahan mampu milik dan kos rendah, termasuk jubin seramik, keluli, peralatan kebersihan dan bahan binaan lain.

"Pendekatan sedemikian boleh membantu menyederhanakan kos pembinaan secara keseluruhan di samping menyediakan manfaat yang lebih besar merentasi ekosistem pembuatan domestik," katanya.  

Lee berkata peningkatan penggunaan bahan tempatan akan menyokong industri domestik dan mengukuhkan rantaian bekalan dalam negara, di samping meningkatkan daya tahan industri, menjana kesan pengganda ekonomi yang lebih kukuh dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Selain menyokong perumahan mampu milik, inisiatif seperti ini boleh menjana kesan limpahan ekonomi yang lebih luas di seluruh rantaian nilai pembinaan, mengukuhkan permintaan terhadap produk buatan tempatan dan menyokong pembangunan ekosistem perindustrian yang lebih mampan, berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan