SEPANG, 23 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mendedahkan 50.9 peratus atau 46,542 daripada 91,456 kes kemalangan yang direkodkan pada 2025 ialah kemalangan perjalanan pergi dan balik kerja.
Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata statistik itu turut menunjukkan berlakunya trend membimbangkan khususnya dalam kalangan penunggang motosikal.
“Kebanyakan mereka yang terkorban ini merupakan tulang belakang keluarga.
“Justeru, situasi membimbangkan ini menuntut tindakan melangkaui sekadar pendekatan reaktif kerana penyaluran faedah PERKESO, bukan penyelesaian tunggal dalam masalah ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Penunggang Malaysia (MyRider) ,di sini, hari ini.
Beliau berkata PERKESO dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia melancarkan MyRider bagi memperkukuh usaha pencegahan kemalangan jalan raya terutama melibatkan penunggang motosikal.
Katanya, kempen itu turut melibatkan pelbagai agensi dan rakan industri termasuk Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekali gus mencerminkan komitmen bersama ke arah memperkukuh keselamatan penunggang motosikal di Malaysia.
“Menerusi Kempen MyRider, saya ingin sampaikan mesej mudah tetapi besar maknanya iaitu kita perlu bersama-sama membudayakan Penunggang Malaysia yang lebih bertanggungjawab, lebih berhemah dan lebih menghargai nyawa, selaras slogan Penunggang Malaysia: Selamat. Berhemah. Bermaruah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman DCP Mohd Rozi Jidin berkata PDRM memberikan sokongan penuh dalam menjayakan Kempen MyRider.
“Semoga kerjasama erat antara PERKESO, PDRM, agensi kerajaan dan rakan strategik industri menjadi pemangkin keberkesanan usaha dalam meningkatkan keselamatan penunggang motosikal di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial