Oleh Mohamad Syazwan Mustafa
PONTIAN, 25 Mei (Bernama) -- Pendekatan lestari memanfaatkan sisa industri nanas sebagai makanan ternakan lembu menjadi tarikan unik bagi sebuah perusahaan ternakan tempatan di Kampung Parit Jerman di sini, apabila menerima permintaan tinggi mencecah 70 ekor menjelang sambutan Aidiladha.
Integrasi sektor pertanian dan penternakan menerusi konsep ekonomi kitaran itu bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada dedak komersial, malah terbukti menghasilkan kualiti daging lembu yang lebih premium, sihat dan rendah lemak.
Pengurus Jermanpine Cafe Mohammad Anal Talha, 54, berkata sistem rangkaian di premisnya dirangka secara lengkap bagi memastikan setiap rantaian operasi bermula daripada tanaman, pembuatan produk, hingga sisa buangan nanas memberikan impak tersendiri.
"Kita mengusahakan tanaman nanas secara besar-besaran untuk produk hiliran seperti tart dan jus. Sisa nanas yang terhasil daripada proses ini sangat banyak dan mencukupi untuk menampung keperluan ternakan kita.
"Sisa ini dicampur bersama jerami padi sebagai suplemen tambahan. Untuk memberi makan 300 ekor lembu di sini, kita memerlukan sekitar dua tan sisa nanas sehari," katanya kepada Bernama ketika ditemui di JermanPine di sini baru-baru ini.
Anak jati Batu Pahat yang mula menternak lembu sejak 2014 itu berkata diet berasaskan sisa nanas memberikan kelebihan besar kepada sistem imunisasi dan kualiti fizikal ternakan.
"Antibodinya lebih kuat berbanding lembu yang makan dedak dan ia lebih berdaya tahan terhadap ancaman penyakit. Mengikut kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), dagingnya lebih berkhasiat kerana nanas mempunyai ciri asidik yang mengurangkan lemak, sekali gus menjadikan tekstur daging lebih lembut dan kurang lemak," katanya.
Bagi menjamin kualiti, Mohammad Anal berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang kerap turun padang bagi memeriksa ternakan, memberikan nasihat, serta mengawal penularan penyakit.
Mengenai pasaran Aidiladha tahun ini, beliau memaklumkan telah menerima sebanyak 70 ekor tempahan daripada pelanggan di sekitar Johor, selain menyediakan 20 ekor lembu lagi khusus untuk jualan daging segar.
Harga bagi seekor lembu dijual mengikut saiz antara RM4,500 hingga RM10,000, manakala daging segar biasa dijual pada RM36 sekilogram dan bahagian batang pinang pula pada RM40 hingga RM44 sekilogram.
"Tempahan kami memang meningkat setiap tahun. Sasaran kita selepas Hari Raya Haji ini adalah untuk membesarkan kandang pameran sedia ada (kapasiti 30 ekor) bagi menampung hingga 300 ekor lembu. Tahun depan, kita sasar jualan meningkat kepada 150 ekor," katanya.
Sektor penternakan ini digerakkan secara bersama dengan ladang nanas seluas 500 ekar yang diusahakannya di Kampung Parit Jerman.
Hasil tuaian nanas yang dilaksanakan secara berperingkat mampu mencecah 40 hingga 50 tan (kira-kira 25,000 biji) sebulan dengan nilai sekitar RM150,000, yang turut menjana kira-kira 20 tan sisa nanas sebulan.
Bagi mengukuhkan rantaian perniagaan, beliau berkata Jermanpine Cafe yang dibuka sejak 2023 menawarkan pelbagai menu berasaskan nanas dan lembu seperti hidangan 'Tomahawk', sup daging, pizza nanas, tart nanas, serta jus nanas segar.
Keunikan kualiti daging lembu tersebut turut diakui oleh pelanggan setia Sayuti Ab Rahim, 41, yang kerap mengunjungi premis berkenaan untuk mendapatkan bekalan daging lembu segar.
"Saya sebelum ini cuba beli dagingnya dan bila makan tu rasa lain, lebih lembut dan berisi. Apabila saya datang semula untuk beli daging pada ketika itu, saya baru tahu rasanya itu datang daripada lembu yang makan sisa nanas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial