KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Kerajaan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan harga barangan keperluan kekal terkawal susulan kebimbangan rakyat terhadap isu kos sara hidup dan bekalan makanan.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata ketika ini, kerajaan memantau pergerakan harga barangan setiap minggu dan secara keseluruhan, harga makanan domestik masih berada dalam julat terkawal bagi tempoh 18 hingga 21 Mei lepas iaitu antara negatif dua peratus hingga 3.6 peratus.
“Pergerakan harga bagi item utama seperti ayam, purata harga sekarang adalah RM9.57 sekilogram. Bagi daging lembu, berita baik kerana harga turun sebanyak dua peratus kepada RM38.45 sekilogram.
"Bagi sawi, ada kenaikan ketara sebanyak 3.6 peratus kepada RM7.08 sekilogram,” katanya semasa Taklimat Krisis Bekalan Global hari ini.
Beliau berkata walaupun terdapat kenaikan harga bagi beberapa barangan tertentu, kerajaan mendapati masih terdapat kawasan dan premis perniagaan yang menawarkan harga lebih rendah kepada pengguna.
Akmal Nasrullah bagaimanapun mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga secara tidak munasabah dalam ketidaktentuan ekonomi kini.
Pada masa sama, beliau turut menggalakkan rakyat untuk menggunakan aplikasi PriceCatcher bagi membandingkan harga barangan serta membuat pilihan pembelian yang lebih bijak.
“Jadilah pengguna yang bijak kerana kuasa membeli ada di tangan anda,” katanya.
Beliau berkata orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan bekalan dan harga barangan menerusi Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan yang telah dibuka untuk akses awam.
Mengenai status pasaran buruh, Akmal Nasrullah berkata seramai 7,057 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lepas, menyaksikan peningkatan 21 peratus berbanding 5,855 orang pada Mac.
"Walaupun angka ini lebih rendah berbanding awal tahun iaitu Januari seramai 10,658 orang dan Februari sebanyak 7,512 orang, perkembangan ini perlu diberi perhatian,” katanya.
Justeru, beliau berkata kerajaan akan memastikan Sistem Insurans Pekerjaan atau LINDUNG Kerjaya di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial berfungsi dengan pantas untuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial