Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ops Gunung Batu Putih: Pendaki Lelaki Diselamatkan, Bomba Terus Kesan Jaslinda

25/05/2026 05:42 PM

TAPAH, 25 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki yang mengalami sesak nafas dan muntah berdarah semasa mendaki Gunung Batu Putih di sini, berjaya diselamatkan dan dibawa turun ke Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, petang tadi.

 Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata mangsa Mohd Hanafi Neikmad, 41, dibawa turun dari puncak gunung sebelum dihantar ke Hospital Tapah kira-kira 3 petang.

“Ini satu usaha bersepadu antara JBPM Perak dan bahagian udara. Tanpa bantuan pesawat, operasi ini mungkin lebih sukar kerana tempoh perjalanan ke puncak Gunung Batu Putih mengambil masa lebih kurang 12 jam.

Ad Banner
Ad Banner

“Mangsa ditemukan dan berjaya diselamatkan pada kedudukan kira-kira satu kilometer dari puncak Gunung Batu Putih pada ketinggian dianggarkan sekitar 2,000 meter, manakala puncak Gunung Batu Putih ini berada pada ketinggian 2,132 meter,” katanya dalam kenyataan.

 Beliau berkata antara cabaran operasi ialah keadaan awan tebal di puncak gunung namun pengalaman dan kepakaran kapten pesawat, operasi membawa masuk pesawat serta proses mengangkat mangsa menggunakan kaedah winching berjaya dilaksanakan dengan selamat. 

“Selepas mangsa berjaya diselamatkan, pesawat segera meninggalkan kawasan berkenaan berikutan keadaan cuaca yang kembali dilitupi awan,” katanya.

Sementara itu, Sayani berkata operasi kini menumpukan usaha mengesan Jaslinda Saludin, 49, yang masih hilang selepas cedera di bahagian kaki dan kali terakhir dilihat oleh Malim Gunung Perhutanan (MGP) kira-kira 7.30 pagi semalam.

“Lokasi terakhir yang dikenal pasti ialah di puncak Gunung Batu Putih kerana dia ada meninggalkan tanda di situ. 

“Dia mungkin tersesat, jadi pasukan penyelamat akan naik ke puncak Gunung Batu Putih sebelum memulakan operasi pencarian dari kawasan ini,” katanya.

Terdahulu, seramai 14 peserta bersama dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Pada 10 malam hari sama, seorang pendaki lelaki dilaporkan mengalami masalah pernafasan dan berhenti berehat di Kem Batu Core bersama seorang MGP serta mangsa wanita, manakala 12 peserta lain meneruskan perjalanan ke Puncak Batu Putih sebelum selamat keluar ke Tapah pada 1 tengah hari semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan