Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Aidiladha: WCE Jangka Lebih 150,000 Kenderaan Sehari, Tangguh Kerja Penyelenggaraan

26/05/2026 05:40 PM

IPOH, 26 Mei (Bernama) -- Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menjangkakan lebih 150,000 kenderaan sehari menggunakan lebuh raya itu sepanjang musim perayaan Aidiladha yang turut jatuh pada cuti persekolahan dan cuti hujung minggu panjang.

WCE dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan peningkatan aliran trafik dijangka berlaku susulan pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan bercuti.

"Bagi memastikan kelancaran trafik dan keselesaan pengguna, pihak WCE akan menangguhkan semua kerja pembinaan serta penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong, kecuali bagi kerja kecemasan yang tidak dapat dielakkan.

Ad Banner
Ad Banner

“Jentera bantuan seperti trak tunda akan ditempatkan di lokasi strategik sepanjang jajaran lebuh raya, selain Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dan petugas peronda diperkukuh untuk memberikan bantuan secara pantas selama 24 jam,” maklum kenyataan itu.

Menurut WCE, langkah proaktif itu penting bagi memastikan sebarang insiden dapat ditangani segera sekali gus mengurangkan gangguan terhadap aliran trafik utama.

Pengguna turut disaran memanfaatkan aplikasi mudah alih WCE yang menawarkan kemudahan navigasi laluan, lokasi kemudahan awam seperti stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), tempat berteduh motosikal, telefon kecemasan serta maklumat trafik masa nyata.

Selain itu sistem PayDirect Touch ‘n Go di semua plaza tol WCE juga membolehkan caj tol ditolak terus daripada baki e-dompet tanpa perlu tambah nilai kad secara manual.

Menurut kenyataan itu lagi, selain kemudahan digital, WCE turut menyediakan enam hentian Rehat dan Rawat (R&R) lengkap dengan parkir, surau dan tandas, selain gerai makanan di beberapa lokasi terpilih termasuk R&R Sungai Nyior arah utara dan selatan serta R&R Bukit Kapar arah utara.

WCE turut menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan lebih awal dan sentiasa mengutamakan keselamatan ketika memandu.

“Pengguna juga digalakkan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mematuhi had laju, memakai tali pinggang keledar dan berehat secukupnya bagi mengelakkan risiko terlelap sejenak,” maklum kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan