Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MONSTA Studios Antara 33 Finalis Anugerah Global WIPO 2026

26/05/2026 07:51 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Syarikat animasi dan harta intelek (IP) tempatan MONSTA Studios dipilih sebagai salah satu daripada 33 finalis Anugerah Global WIPO 2026 anjuran Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).

Dalam satu kenyataan, MONSTA Studios memaklumkan pengiktirafan itu meletakkan syarikat berkenaan sebaris dengan finalis lain yang dipilih daripada lebih 1,300 penyertaan dari 126 negara di seluruh dunia.

Anugerah Global WIPO mengiktiraf syarikat pemula serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memanfaatkan strategi harta intelek (IP) kukuh bersama inovasi dan kreativiti bagi mengembangkan perniagaan, di samping menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Ad Banner
Ad Banner

Menurut kenyataan itu, penilaian finalis dibuat berdasarkan kekuatan model perniagaan dan portfolio IP, strategi pengkomersialan IP, budaya IP dalaman serta potensi impak sosial selari dengan SDG.

MONSTA Studios memaklumkan pendekatan syarikat dalam industri kreatif serta strategi IP yang diguna pakai telah membolehkannya berkembang daripada sebuah studio animasi tempatan kepada pemboleh (enabler) IP yang menggabungkan penceritaan, teknologi, pemasaran dan perdagangan dalam satu ekosistem bersepadu.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA Studios Nizam Abd Razak berkata syarikat itu sentiasa memberi tumpuan terhadap peningkatan kreativiti dan kualiti setiap IP yang dibangunkan, di samping memastikan perlindungan kukuh terhadap aset teras syarikat.

“Pada masa sama, kepelbagaian IP amat penting kerana potensi dalam satu-satu IP adalah sangat besar,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Program Anugerah WIPO Marcelo Di Pietro mengucapkan tahniah kepada MONSTA Studios atas kejayaan mara ke peringkat finalis.

“Kami berbesar hati mengiktiraf finalis ini yang mengetengahkan pendekatan inovatif dan strategi IP yang kukuh dalam kalangan lebih 1,300 penyertaan seluruh dunia. Mereka membuktikan bahawa IP, jika diurus secara strategik, mampu menjadi aset perniagaan yang mendorong pertumbuhan,” katanya.

Sebagai finalis, MONSTA Studios akan menyertai Komuniti Alumni Anugerah Global serta mendapat akses kepada pelbagai peluang yang disediakan WIPO, termasuk sesi padanan pelabur dan pemecut perniagaan, sesi perkongsian pakar serta jemputan ke acara strategik berkaitan perniagaan dan IP.

Sebanyak 11 pemenang Anugerah Global WIPO 2026 akan diumumkan pada majlis rasmi di Geneva pada 10 Julai sempena Perhimpunan WIPO.

MONSTA Studios turut dikenali dengan penglibatan dalam penerbitan filem cereka, siri televisyen, barangan dagangan serta pelbagai perniagaan berasaskan IP yang menyasarkan penonton kanak-kanak dan keluarga.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan