Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pemimpin Negeri Seru Rakyat Hayati Semangat Pengorbanan Sempena Aidiladha

26/05/2026 10:35 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Beberapa pemimpin negeri menyeru umat Islam agar menghayati semangat pengorbanan, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan keikhlasan dalam kehidupan sempena sambutan Aidiladha esok.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengajak umat Islam di negeri itu menjadikan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anakandanya Nabi Ismail AS sebagai iktibar dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian.

Beliau berkata semangat pengorbanan sedemikian menuntut ketabahan yang harus bermula daripada diri sendiri selain mengambil iktibar sirah Rasulullah SAW yang memberikan inspirasi serta kekuatan dalam perjuangan membangunkan negeri itu.

Ad Banner
Ad Banner

“Marilah kita sama-sama mengambil peluang pada hari yang penuh barakah ini untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan yang berterusan bagi rakyat dan negeri ini,” katanya dalam Perutusan Aidiladha hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pengertian Aidiladha merentasi maksud pengorbanan semata-mata, yang mengajar umat Islam untuk terus memberi, berkongsi dan berkorban demi keluarga, masyarakat serta negeri dan negara.

“Ia juga mengenai keikhlasan hati, kekuatan jiwa dan rasa syukur atas setiap nikmat pemberian Allah SWT. Dalam kita meraikan hari yang mulia ini, marilah sama-sama kita eratkan silaturahim, saling memaafkan dan terus menyantuni mereka yang memerlukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Dalam hantaran berasingan, Saarani turut mendoakan agar semua jemaah haji Malaysia, khususnya dari Perak dipermudahkan urusan menunaikan ibadah mereka dan dikurniakan haji yang mabrur.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula berkata Aidiladha mengajar erti pengorbanan sebenar demi agama, keluarga dan masyarakat.

“Semoga setiap pengorbanan yang dilakukan diterima Allah SWT, dikurniakan keberkatan serta menjadi lambang keikhlasan, ketaatan dan kasih sayang sesama insan. Selamat menunaikan ibadah korban 1447H buat seluruh umat Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Di Terengganu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Aidiladha mengingatkan umat Islam tentang pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai simbol ketaatan kepada Allah SWT.

Ahmad Samsuri berkata pengorbanan juga penting dalam kehidupan bernegara, termasuk mendahulukan kepentingan rakyat demi kestabilan masa depan, selain menyeru rakyat menghadapi cabaran dengan sabar, matang dan bersatu membina masa depan lebih baik.

“Adakalanya keputusan yang perlu dibuat tidak mudah, ada waktunya pemimpin perlu memilih jalan yang lebih sukar demi kestabilan masa depan. Ada ketika rakyat juga terpaksa bersabar menghadapi cabaran ekonomi, tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan dunia global,” katanya melalui hantaran di Facebooknya. 

Beliau bagaimanapun berkata sejarah mengajar bahawa bangsa yang kuat ialah bangsa yang mampu menghadapi kesusahan dengan sabar, matang dan saling mempercayai.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pula berkata Aidiladha membawa pengertian besar menerusi kisah agung Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang menjadi lambang ketaatan kepada Allah SWT.

“Mewakili kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka, saya mengucapkan Selamat Menyambut Aidiladha kepada seluruh umat Islam di Malaysia, khususnya rakyat negeri Melaka yang saya kasihi.

“Semangat pengorbanan yang diterapkan menerusi sambutan Aidiladha diharap dapat memperkukuh hubungan sesama masyarakat serta menyatukan hati dalam membina ummah yang lebih berkasih sayang dan diberkati,” katanya menerusi kenyataan di Facebook. 

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud pula berkata pelbagai cabaran dan kemelut yang melanda hari ini menuntut seluruh umat Islam agar terus berkorban tenaga, masa, harta dan jiwa demi mempertahankan agama serta membina sebuah kehidupan yang diredai Allah SWT.

“Justeru, Aidiladha bukan sekadar perayaan untuk berhimpun dan menikmati juadah bersama keluarga, bahkan ia adalah madrasah tarbiah yang mendidik umat Islam tentang hakikat pengorbanan dan penyerahan diri kepada Allah SWT.

Beliau turut menyeru umat Islam agar menzahirkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin, menyifatkan pengorbanan mereka dalam mempertahankan aqidah, maruah dan tanah air daripada cengkaman penjajah sebagai gambaran nyata sebuah pengorbanan yang hakiki.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan