Oleh Arthur Edward
KUDAT, 27 Mei (Bernama) -- Kehadiran pasukan keselamatan dan pengoperasian kemudahan Tapak Sensor Jarak (RSS) di Pulau Balambangan bukan sahaja memperkukuh pertahanan perairan negara, malah memberi kelegaan serta jaminan keselamatan yang bermakna kepada penduduk tempatan.
Bagi komuniti di pulau terpencil itu, kewujudan pos kawalan dan kemudahan teknologi itu menamatkan kebimbangan mereka terhadap ancaman pencerobohan, sekali gus menyuntik keyakinan untuk mencari rezeki serta menjalani kehidupan seharian dengan lebih tenang.
Ketua Kampung Selamat Majon Toling, 58, berkata kehidupan di pulau itu sebelum ini amat mencabar, terutama apabila berlaku kecemasan berikutan kesukaran untuk berhubung dengan dunia luar akibat ketiadaan liputan telekomunikasi.
“Sebelum ini, sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, kami buntu memikirkan cara untuk meminta bantuan kerana tiada liputan telefon dan Internet. Perjalanan ke Pekan Kudat pula memakan masa dan kami terpaksa bergantung kepada bot yang sesuai demi keselamatan di laut.
“Namun, keputusan kerajaan membina RSS dan menempatkan pasukan keselamatan di pulau ini memberikan sinar baharu. Seiring dengan pembinaan kemudahan itu, kami kini mendapat akses telekomunikasi yang membolehkan kami berhubung semula dengan dunia luar,” kata anak jati pulau itu kepada Bernama.
Pulau Balambangan yang berkeluasan kira-kira 100 kilometer persegi itu bukan sahaja mempunyai nilai strategik dari sudut pertahanan, malah terkenal dengan landskap batu kapur dan keindahan pantai yang masih belum tercemar.
Terletak di utara kepulauan Borneo dan berhampiran selatan Selat Balabac, Pulau Balambangan menjadi penempatan kepada lebih 500 penduduk di Kampung Selamat, Kampung Selamat Darat dan Kampung Kok Simpul.
Majon berkata majoriti penduduk adalah etnik Bajau Sama yang rata-ratanya bergantung sepenuhnya kepada sumber laut sebagai punca pendapatan.
“Aktiviti harian kami adalah menangkap ikan untuk keperluan sendiri dan jika ada lebihan, kami akan jual atau agihkan kepada jiran. Kami juga ada bercucuk tanam, namun secara kecil-kecilan kerana keadaan tanah yang kurang sesuai.
“Kini, dengan adanya anggota keselamatan, penduduk berasa terjamin untuk ke laut. Malah, hubungan antara anggota keselamatan dan penduduk kampung semakin akrab, membuatkan kami berasa sangat selesa dan selamat,” katanya.
Perasaan selamat itu turut dikongsi Junit Along, 44, penduduk Kampung Selamat Darat yang bekerja sebagai pemandu bot sejak 15 tahun lepas.
“Setiap hari saya menghantar penduduk dan murid-murid ke Sekolah Kebangsaan Balambangan. Dengan adanya pemantauan berterusan oleh pasukan keselamatan di perairan, saya tidak lagi risau tentang keselamatan penumpang,” kata Junit.
Sementara itu, seorang pesara kerajaan Biran Sipat, 65, mengakui pada peringkat awal, segelintir penduduk berasa segan dan bimbang dengan kehadiran anggota beruniform di kampung mereka, namun situasi itu berubah apabila mereka mula merasai impak positifnya.
“Lama-kelamaan, kami menjadi sangat selesa. Sekiranya turun ke laut, kami tidak lagi takut akan ancaman penceroboh yang boleh menggugat nyawa. Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin terhadap keselamatan kami di sini,” katanya.
Pada 23 April, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ketika ini RSS Balambangan dapat memantau 70 peratus kawasan pemantauan di bahagian utara Sabah terhadap sebarang pencerobohan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial