Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sumbangan Lembu Korban Tanda Prihatin PM Anwar Terhadap Pengamal Media - PENDIKA

27/05/2026 01:50 PM

MELAKA, 27 Mei (Bernama) -- Keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kebajikan pengamal media terus dizahirkan apabila menyumbangkan seekor lembu bersempena dengan sambutan Aidiladha tahun ini menerusi program Majlis Qurban Media 2.0 2026.

Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) Amir Mamat berkata  sumbangan itu amat bermakna khususnya dalam membantu pengamal media daripada golongan B40 di negeri ini menyertai ibadah korban selain berkongsi rezeki bersama keluarga dan masyarakat setempat.

"PENDIKA berasa amat berbesar hati dengan keprihatinan serta sokongan yang diberikan oleh Perdana Menteri terhadap kebajikan pengamal media, terutama mereka yang berdepan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.

Ad Banner
Ad Banner

"Menerusi sumbangan ini, seramai seramai tujuh pengamal media di negeri ini dipilih menyertai ibadah korban hasil sumbangan Perdana Menteri berkenaan sekali gus membolehkan tuntutan ibadah dilaksanakan malah memberi peluang berkongsi rezeki dengan keluarga dan masyarakat setempat," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. 

PENDIKA juga katanya turut merakamkan penghargaan kepada Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) yang menyelaraskan sumbangan haiwan korban berkenaan.

Selain sumbangan Perdana Menteri, PENDIKA turut menerima seekor lagi lembu korban daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat syarikat itu dalam membantu komuniti pengamal media.

"Sokongan daripada kedua-dua pihak ini membuktikan bahawa kebajikan pengamal media sentiasa mendapat perhatian khususnya dalam memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir daripada menikmati manfaat program keagamaan dan kemasyarakatan. 

"PENDIKA percaya semangat kebersamaan, keprihatinan dan amalan berkongsi rezeki yang dizahirkan menerusi ibadah korban ini mampu mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan masyarakat serta menyemai nilai murni yang menjadi teras perpaduan negara," katanya. 

Sementara itu, GKMM memaklumkan Majlis Qurban Media 2.0 2026 yang dianjurkan bersama Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri berlangsung dengan jayanya hari ini.

GKMM dalam satu kenyataan memaklumkan program yang memasuki penganjuran kali kedua itu turut dilaksanakan di enam negeri iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang dengan kerjasama beberapa kelab media negeri.

"GKMM mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri serta Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri di atas sumbangan serta inisiatif kolobrasi bagi tujuan menjayakan program ini," maklumnya. 

Menurut GKMM, program itu bukan sahaja mengimarahkan sambutan Aidiladha dalam kalangan pengamal media dan komuniti setempat, malah mendidik masyarakat untuk terus menyumbang kepada golongan memerlukan serta mengeratkan hubungan silaturahim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan