Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pulau Pinang Warta 50 Warisan Budaya Negeri Tahun Ini -Exco

28/05/2026 11:42 AM

GEORGE TOWN, 28 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri mewartakan sebanyak 50 warisan budaya  secara rasmi dalam senarai warisan budaya peringkat negeri di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 pada tahun ini dalam usaha pemeliharaan khazanah budaya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata pewartaan itu melibatkan 15 tapak warisan, tujuh warisan kebudayaan tidak ketara dan 28 makanan warisan tempatan.

“Antara 15 tapak warisan yang diwartakan pada 7 Mei lepas termasuk Batu Bersurat Cherok To’Kun, Kota Cornwallis, Tapak Arkeologi Guar Kepah, Penang Free School, Masjid Kapitan Keling, Leong San Tong Khoo Kongsi dan Gereja St. George.

Ad Banner
Ad Banner

“Bagi kategori warisan kebudayaan tidak ketara pula, elemen unik seperti budaya nasi kandar, budaya kopitiam, perarakan Thaipusam, perarakan Chingay, Perayaan St. Anne Bukit Mertajam dan Loghat Bahasa Tanjong Pulau Pinang diwartakan pada 22 Jan lepas disusuli seni mempertahankan diri Nillaikalakki Silambam pada 7 Mei,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata perayaan Teong Guan Phor Thor kini dilaporkan dalam proses pewartaan sementara kepelbagaian gastronomi Pulau Pinang turut mendapat pengiktirafan tertinggi menerusi pewartaan 28 Makanan Warisan termasuk Nasi Kandar, Pasembor, Char Kuetiau, Asam Laksa, Mi Hokkien, Roti Benggali, Cendol, Teh Tarik, dan Ais Kepal.

Wong berkata pengiktirafan secara berinstitusi itu bukan sekadar prosedur pentadbiran tetapi mencerminkan komitmen teguh kerajaan negeri dalam memelihara memori sejarah, identiti sosial, dan menjadikan warisan budaya sebagai aset penting untuk sektor pelancongan serta ekonomi kreatif.

Beliau berkata langkah tersebut juga membuka laluan yang lebih kukuh untuk mengangkat warisan budaya Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), malah berpotensi dicalonkan ke Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO pada masa hadapan.

“2026 boleh disifatkan sebagai tahun penting yang menyaksikan warisan budaya Pulau Pinang melangkah ke tahap yang lebih tinggi, mendalam dan tersusun dari segi perlindungan.

“Pencapaian yang diraih dalam bidang warisan budaya tahun ini amat membanggakan serta mencipta rekod baharu yang tidak pernah dicapai sejak beberapa dekad lalu,” katanya.

​-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan