KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan (NHRA) menggesa kerajaan mempercepat penggubalan dan pelaksanaan Akta Sewaan Kediaman (RTA) bagi melindungi hak dan kepentingan pemilik rumah dan penyewa.
Presidennya Prakash P. Kalivanan berkata langkah itu perlu di tengah-tengah kebimbangan orang ramai terhadap penyalahgunaan hartanah kediaman yang disewa untuk aktiviti haram seperti operasi transaksi bitcoin, pelacuran, melindungi pendatang tanpa izin, tempat penyimpanan barang curi dan aktiviti pemberian pinjaman wang tanpa lesen.
Beliau berkata di bawah undang-undang sedia ada, pemilik rumah boleh dikenakan siasatan atau kemungkinan tindakan undang-undang jika pihak berkuasa mendapati mereka mengetahui tentang aktiviti haram atau gagal mengambil langkah yang sewajarnya untuk mencegah aktiviti tersebut daripada berlaku di hartanah mereka.
“Sebagai Presiden NHRA, saya ingin menekankan bahawa majoriti pemilik rumah menyewakan hartanah mereka dengan niat baik dan sering tidak menyedari aktiviti yang dilakukan oleh penyewa yang tidak bertanggungjawab.
“Ramai pemilik hartanah adalah orang biasa yang bergantung kepada pendapatan sewa sebagai sebahagian daripada komitmen kewangan mereka dan tidak seharusnya menjadi mangsa keadaan akibat tindakan penyewa yang bertindak tanpa pengetahuan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata NHRA percaya bahawa Malaysia amat memerlukan RTA yang komprehensif untuk menyediakan perlindungan undang-undang yang sewajarnya dan garis panduan lebih jelas untuk pemilik rumah dan penyewa.
"Undang-undang sedemikian akan membantu mengawal selia pasaran sewa kediaman dengan lebih berkesan dengan menetapkan hak, tanggungjawab dan kewajipan semua pihak yang terlibat," katanya.
Beliau berkata pengenalan RTA perlu untuk mewujudkan ekosistem sewaan yang seimbang, telus dan dilindungi undang-undang di Malaysia, di samping membantu mengurangkan pertikaian, meningkatkan akauntabiliti dan menyediakan mekanisme penguatkuasaan yang lebih jelas melibatkan isu berkaitan penyewaan.
Pada masa yang sama, Prakash berkata pemilik rumah juga mesti mengambil tanggungjawab dan membuat semakan teliti apabila menyewakan hartanah mereka, termasuk mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri mereka daripada potensi komplikasi undang-undang.
Beliau berkata antara langkah yang dicadangkan adalah menyediakan perjanjian penyewaan bertulis yang sah, menyemak dan memeriksa latar belakang penyewa, sentiasa membuat pemeriksaan ke atas premis yang disewa dan membuat dokumentasi lengkap berkaitan perjanjian penyewaan.
“NHRA percaya pemilik rumah yang bertanggungjawab tidak seharusnya dipertanggungjawabkan atas perbuatan jenayah yang dilakukan tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.
"Bagaimanapun, kedua-dua pemilik rumah dan juga penyewa perlu memainkan peranan mereka dalam memastikan hartanah kediaman yang disewa digunakan secara sah dan bertanggungjawab," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial