PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) -- Kerjasama strategik Malaysia dan Arab Saudi dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan terus menunjukkan perkembangan positif menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Majlis Penyelarasan Saudi-Malaysia (SMCC).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi hantaran di laman Facebook berkata perkembangan itu merupakan antara perkara yang dibincangkan beliau semasa pertemuannya dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud ketika berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.
“SMCC menjadi platform utama penyelarasan pelbagai inisiatif kerjasama. Melalui SMCC, Malaysia dan Arab Saudi telah memuktamadkan tujuh bidang kerjasama utama meliputi keselamatan sempadan, pencegahan keganasan, keselamatan siber, imigresen, forensik, operasi mencari dan menyelamat serta usaha membanteras jenayah narkotik,” katanya.
Pada 21 Ogos 2025, mesyuarat pertama kluster keselamatan di bawah SMCC yang dihoskan Arab Saudi telah diadakan secara dalam talian, sebagai susulan kepada persetujuan dicapai dalam mesyuarat pertama SMCC yang dipengerusikan Menteri Luar kedua-dua negara di Riyadh bagi memperkukuh serta meluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang keselamatan selaras dengan Perjanjian Kerjasama Keselamatan Malaysia-Arab Saudi, yang dimeterai pada 18 April 2011.
Selain itu Saifuddin Nasution berkata Jawatankuasa Pakar turut mencapai kesepakatan untuk melaksanakan 10 inisiatif strategik melibatkan pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan kedua-dua negara.
“Perkembangan ini mencerminkan kesungguhan Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkukuh perkongsian kepakaran, pertukaran maklumat risikan serta kerjasama penguatkuasaan dalam menghadapi cabaran keselamatan rentas sempadan yang semakin kompleks,” katanya.
Pada 21 Dis 2025, mesyuarat pertama jawatankuasa itu telah mencapai persetujuan bersama bagi pelan tindakan tahunan yang komprehensif, merangkumi aspek perkongsian maklumat strategik, penyelarasan modul latihan kepakaran serta pemantauan berkala melalui mesyuarat jawatankuasa teknikal.
Saifuddin Nasution berkata dalam sesi berkenaan, Putera Mahkota Mohammed turut menyatakan penghargaan terhadap peranan dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat antarabangsa, khususnya dalam mengangkat pendekatan dialog, diplomasi dan persefahaman bagi meredakan konflik serta memelihara keamanan global.
“Insya-Allah, hubungan persahabatan yang kukuh antara Malaysia dan Arab Saudi akan terus diperkasakan demi keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial