KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Pesta Kaamatan yang disambut masyarakat Kadazan-Dusun, Murut dan Rungus di Sabah bukan sekadar perayaan budaya, malah menjadi simbol kesyukuran, perpaduan dan kekuatan kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pesta menuai yang diraikan pada 30 dan 31 Mei setiap tahun itu, turut mencerminkan keharmonian rakyat Malaysia yang hidup dalam suasana aman tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata tema Pesta Kaamatan 2026 “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian” amat bertepatan dalam menggambarkan nilai kebersamaan serta semangat kerjsama dalam kehidupan masyarakat di Sabah terutama ketika mendepani cabaran global semasa seperti ketidaktentuan ekonomi, peningkatan kos sara hidup serta krisis tenaga dan rantaian bekalan.
“Semangat ini adalah teras kekuatan rakyat Malaysia dalam mengharungi setiap cabaran, demi memastikan negara kekal stabil, berdaya saing dan lestari.
“Semoga Pesta Kaamatan tahun ini membawa keberkatan, kesejahteraan dan memperkukuh lagi semangat kebersamaan serta kasih sayang sesama rakyat Malaysia. Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan (Selamat Hari Besar Kaamatan),” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kepelbagaian budaya, adat resam dan tradisi yang diwarisi turun-temurun oleh masyarakatnya menjadikan Malaysia cukup istimewa, unik serta harmoni yang membentuk identiti negara ini.
Beliau berkata Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang diraikan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Dayak serta pelbagai etnik lain di Sabah dan Sarawak, mencerminkan rasa syukur atas hasil tuaian, di samping memelihara adat, budaya dan nilai yang terus diwariskan dari satu generasi ke generasi lain.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata keunikan budaya dan kepelbagaian masyarakat inilah yang menjadi tarikan utama negara dalam Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Ia memperkenalkan keindahan Malaysia kepada dunia, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan yang telah lama menjadi tunjang kekuatan negara kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook bersempena dengan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026.
Beliau turut berharap sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tahun ini membawa kegembiraan dan kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak
“Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai!,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial