Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Teliti Kaedah Berkesan Tangani Kes Curi Kabel Kereta Api

30/05/2026 04:54 PM

PADANG BESAR, 30 Mei (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti kaedah berkesan termasuk penggunaan teknologi pemantauan bagi menangani kes kecurian kabel landasan kereta api yang semakin berleluasa.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang melihat penggunaan teknologi itu bagi mengesan dan mencegah kecurian kabel daripada terus berulang kerana kes itu masalah besar kepada perkhidmatan kereta api, khususnya di sebelah utara.

“Ia tidak boleh dilihat sebagai kes kecurian biasa, ini keselamatan negara kerana membantutkan perkhidmatan, telah banyak menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan kereta api dan mengundang risiko bahaya kepada orang ramai,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Loke berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin - Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) di sini hari ini yang disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Berangkat sama ke majlis itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Loke berkata MOT turut berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai langkah memperketat undang-undang terhadap kes kecurian kabel kerana walaupun tindakan telah diambil bagi kes itu,  ia masih berleluasa.

Beliau berkata kes kecurian kabel menjadi cabaran besar kepada MOT memandangkan harga tembaga yang tinggi dipercayai mendorong kegiatan itu selain rangkaian landasan kereta api negara yang menjangkau kira-kira 1,000 kilometer menyukarkan pemantauan.

“Untuk memantau setiap kilometer, setiap kawasan memang sukar sebab ada kawasan yang agak terpencil dan ini memudahkan mereka akses kepada landasan kita,” katanya.

Loke berkata pihaknya turut meneliti amalan dan penyelesaian bersesuaian diguna pakai negara lain bagi menangani masalah itu memandangkan kes kecurian kabel juga berlaku di negara mempunyai sistem rel.

“Kes kecurian kabel bukan unik (di) Malaysia sahaja. Semua negara yang ada sistem rel menghadapi masalah sama dan mungkin ada negara mempunyai penyelesaian lebih baik. Kita cuba lihat apa penyelesaian dibuat pihak negara lain,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan