Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perarakan Rakit Berhias Jadi Tumpuan Pesta Gawai Bidayuh Bisapug

30/05/2026 06:17 PM

Padawan, 30 Mei (Bernama) -- Perarakan enam rakit berhias yang mengetengahkan budaya dan warisan masyarakat Bidayuh Bisapug menjadi tarikan utama Pesta Sungai dan Rami Gawai di Kampung Simpok di sini hari ini.

Setiap rakit dihiasi dengan elemen tradisional Bidayuh dan disertai peserta berpakaian tradisional Dayak yang mempersembahkan tarian kebudayaan sepanjang pelayaran kira-kira 45 minit menyusuri sungai sebelum berakhir di Tebingan Mini Simpok.

Acara anjuran penduduk kampung bersempena sambutan Hari Gawai yang akan diraikan Isnin ini, berlangsung meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung termasuk pelancong dari dalam dan luar negara serta penduduk setempat.

Ad Banner
Ad Banner

Seorang pelancong Belanda, Eric De Bruijn, 57, tidak dapat menyembunyikan keterujaan ketika ditemui di program tersebut kerana ini kali pertama dia menyaksikan sambutan perayaan yang meriah dan penuh dengan tradisi.  

“Peluang ini membantu saya mengenali budaya masyarakat Bidayuh dengan lebih dekat. Saya kagum melihat bagaimana mereka mengekalkan tradisi kaum mereka sambil berkongsi keunikan budaya dengan pelawat,” katanya kepada Bernama.

Eric berkata Sarawak memiliki kepelbagaian budaya yang unik dan berharap dapat kembali pada masa hadapan untuk menyaksikan lebih banyak perayaan etnik lain seperti Gawai Dayak, serta festival kebudayaan yang mengetengahkan warisan pelbagai kaum di negeri itu.

"Saya berharap lebih banyak acara seperti ini terus dipromosikan di peringkat antarabangsa kerana ia bukan sahaja menarik pelancong, malah membantu memperkenalkan identiti dan kekayaan budaya Sarawak kepada dunia," katanya. 

Penyampai radio tempatan, Elya Nabila, turut berkongsi perasaannya yang tidak pernah jemu menyaksikan kepelbagaian budaya yang menjadi identiti Sarawak, terutamanya dalam kalangan masyarakat Dayak.

"Setiap kali menghadiri acara seperti ini, saya tetap berasa teruja kerana ada sahaja keunikan baharu yang dapat dipelajari dan merasai pengalaman itu sendiri.

“Ini kali kedua saya datang ke Kampung Simpok untuk bersama rakan-rakan dan penduduk setempat menyaksikan sambutan kebudayaan mereka, semangat komuniti serta usaha memelihara warisan yang ditampilkan memang sentiasa menarik perhatian," katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa penganjur Peter Apit, 45, berkata tahun ini merupakan kali kelapan pesta itu diadakan bertujuan mengekalkan hubungan silaturahim antara penduduk Kampung Simpok.

Apit berharap acara itu dapat dimasukkan dalam kalendar rasmi pelancongan negeri pada masa hadapan serta menerima peruntukan lebih besar bagi membolehkan penganjuran yang lebih meriah.

“Tahun ini kami menyasarkan lebih 5,000 pengunjung berbanding sekitar 2,000 orang tahun lepas,” katanya. 

Kampung Simpok yang terletak kira-kira 40 kilometer dari pusat bandar raya Kuching, merupakan sebuah penempatan terbesar etnik Bidayuh Bisapug dan terbahagi kepada enam zon iaitu Kandis, Serui, Pedat, Regu, Tengah serta Tedontiang.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri  Tarat hadir merasmikan majlis sebagai simbolik sambutan Gawai di kawasan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan