Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program Sepakat Korban Kasih MADANI 2026 Santuni Komuniti Bandar Tun Razak

30/05/2026 07:06 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Program Sepakat Korban Kasih MADANI 2026 yang dilaksanakan di Parlimen Bandar Tun Razak hari ini terus memperkukuh usaha menyantuni masyarakat melalui pendekatan ibadah dan kebajikan berteraskan nilai ihsan bersempena dengan Aidiladha.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata program berkenaan menggabungkan pelaksanaan ibadah korban, kenduri rakyat serta Majlis Sejahtera MADANI yang memberikan tumpuan kepada agihan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Sebanyak 210 penerima eKasih berstatus miskin akan menerima dua kilogram daging lembu segar, sepapan telur ayam serta sumbangan tudung daripada Persatuan Kesejahteraan Rakyat Malaysia (PKRM) sebagai tanda keprihatinan yang berterusan dan menyeluruh,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Masjid Saidina Othman Ibn Affan di Bandar Tun Razak, Cheras di sini.

Ad Banner
Ad Banner

Dr Wan Azizah, yang juga isteri Perdana Menteri, turut menyampaikan sumbangan 10 ekor lembu pada program berkenaan bagi tujuan pelaksanaan ibadah korban dan agihan kepada komuniti setempat.

Program itu turut diperkukuh dengan pendekatan berteraskan rakyat (people-centric) melalui penganjuran kenduri rakyat, yang menyaksikan para sukarelawan bergotong-royong memasak sebelum menjamu penerima sumbangan.

Seorang penerima sumbangan, Zarjan Menawar Shah, 61, tidak dapat menahan sebak apabila menerima sumbangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Saya rasakan sumbangan ini sebagai satu rahmat besar, terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penyumbang, terutamanya Dr Wan Azizah,” katanya.

Seorang sukarelawan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) yang ditugaskan untuk melapah daging, Amarul Hisham Jamil, 32, berkata peluang menyertai program itu memberikan pengalaman bermakna, malah dilihat menjadi platform terbaik dalam memperkukuh ikatan silaturahim sesama masyarakat.

“Saya rasa amat gembira kerana peluang sebegini jarang diperoleh. Saya berharap agar aktiviti seperti ini dapat diperbanyak supaya kita dapat menghulurkan bantuan dan menyantuni lebih ramai keluarga yang memerlukan, terutamanya golongan asnaf,” katanya.

Program kelolaan Kelab Kebajikan dan Sukan ICU JPM itu melibatkan penyertaan 52 warga ICU JPM bagi pelaksanaan ibadah korban, dengan sokongan kira-kira 150 petugas dan sukarelawan serta kehadiran lebih 2,000 anggota komuniti setempat.

Program itu turut disokong pelbagai rakan strategik termasuk PKRM, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pusat Khidmat Parlimen Bandar Tun Razak, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan