Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Permintaan Ayam Tua Meningkat Menjelang Hari Gawai Dayak

30/05/2026 08:38 PM

SIBU, 30 Mei (Bernama) -- Permintaan terhadap ayam tua atau ayam pencen, bahan utama penyediaan manuk pansuh yang menjadi antara hidangan tradisional wajib sempena sambutan Hari Gawai Dayak, meningkat ketara di Pasar Sentral Sibu dengan jualan mencecah ratusan ekor sehari menjelang perayaan itu.

Tinjauan Bernama di Pasar Sentral Sibu hari ini mendapati gerai-gerai yang menjual ayam tua siap dibungkus dengan surat khabar menjadi tumpuan masyarakat Dayak yang membuat persiapan akhir menyambut Hari Gawai Dayak pada 1 Jun ini.

Selain mendapatkan ayam tua untuk dimasak sebagai manuk pansuh, pengunjung turut membeli pelbagai bahan mentah, sayur-sayuran, buah-buahan, hasil sungai seperti udang galah serta keperluan lain bagi persiapan perayaan.

Ad Banner
Ad Banner

Pasar Sentral Sibu, iaitu pasar basah berbumbung terbesar di negara ini, menempatkan lebih 1,100 gerai jualan dan menjadi pusat sehenti bagi penduduk mendapatkan keperluan harian serta persiapan musim perayaan.

Manuk pansuh ialah hidangan tradisional masyarakat Dayak, khususnya etnik Iban dan Bidayuh, yang menggunakan ayam diperap bersama rempah seperti serai, halia, bawang putih, bawang merah, bunga kantan dan daun kesum sebelum dimasak dalam buluh.

Seorang peniaga, Karen Mina yang telah lebih 20 tahun berniaga di pasar itu berkata berdasarkan pengalaman, jualan ayam tua biasanya memuncak dalam tempoh dua hari terakhir sebelum Gawai dengan permintaan mencecah kira-kira 300 ekor sehari.

“Seawal pagi saya sudah berada di sini untuk membungkus dan menyusun ayam yang akan dijual. Pelanggan bukan sahaja dari sekitar Sibu, malah dari Sibu Jaya dan Kanowit,” katanya.

Beliau berkata ayam tua itu diperoleh daripada ladang ayam penelur di Sibu dan dijual pada harga antara RM16 hingga RM25 seekor bergantung kepada saiz.

Sementara itu, seorang lagi peniaga Angelina Mau berkata beliau dan rakannya menjual kira-kira 100 ekor ayam tua sehari sejak beberapa hari lepas dan jualan dijangka meningkat sehingga 200 ekor sehari pada saat akhir menjelang perayaan.

Beliau berkata ayam tua yang siap dibungkus dijual pada harga antara RM20 hingga RM25 seekor bergantung kepada saiz manakala gerai mereka beroperasi dari 8 pagi hingga 5 petang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan