KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Media sosial memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara penulis dan pembaca, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jualan buku pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.
Penulis dan penerbit Zahirah’s Books Nur Zahirah Zamree, 30, berkata penjenamaan peribadi yang dibinanya menerusi platform digital sejak awal menjadi antara faktor membantunya mendekati pembaca sebelum menerbitkan karya dan bertemu mereka secara bersemuka.
“Strategi itu bukan sahaja memperluas capaian audiens, malah turut membantu memperkenalkan karya baharu dengan lebih berkesan kepada pasaran,” katanya ketika ditemui Bernama pada PBAKL 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Nur Zahirah berkata pihaknya telah menerbitkan lapan buah buku pada tahun ini merangkumi satu buku fiksyen dan tujuh buku bukan fiksyen yang berfokus kepada motivasi serta pembangunan emosi dan rohani wanita.
Sementara itu, pengunjung di reruai Semesta Publication Wan Nur Amalin Izzah Wan Mohd Ismail, 16, berkata beliau mula mengenali penulis kegemarannya Sofia Roses, melalui media sosial sebelum membuat keputusan membeli buku berdasarkan minat terhadap genre ditawarkan.
“Saya kenal Sofia Roses daripada media sosial dan ini kali pertama saya datang ke sini untuk berjumpa penulis secara bersemuka,” katanya.
Bagi Norhafiz Norazman, 31, PBAKL bukan sekadar platform jualan, malah berfungsi sebagai ruang pertemuan yang mengeratkan silaturahim antara penulis dan pembaca serta peluang bagi penulis baharu memperkenalkan karya mereka.
Beliau berkata walaupun pembelian secara dalam talian menawarkan harga lebih murah, pengalaman membeli secara fizikal di pesta buku kekal sebagai tarikan utama pengunjung
“Kalau beli di TikTok, harganya memang lebih murah kerana ada baucar dan pelbagai promosi. Namun, pengalaman membeli secara fizikal berbeza kerana pembaca berpeluang bertemu penulis serta bertanya secara langsung mengenai kandungan buku. Pengalamannya lebih bermakna,” katanya.
Norhafiz turut melahirkan rasa gembira melihat kehadiran ramai pengunjung muda ke PBAKL 2026 yang membuktikan minat terhadap pembacaan masih tinggi dalam kalangan generasi baharu.
PBAKL 2026 edisi ke-43 berlangsung selama 10 hari sejak Jumaat dan dibuka kepada orang ramai dari 10 pagi hingga 10 malam.
Pesta buku itu disertai ratusan penerbit dari dalam dan luar negara melibatkan kira-kira 1,000 reruai yang menawarkan pelbagai bahan bacaan, selain menjadi platform memperkukuh budaya membaca serta merancakkan industri perbukuan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial