Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Di Sebalik Lensa, Tersimpan Risiko Dan Dedikasi Jurufoto

01/06/2026 01:20 PM

Oleh Suraidah Roslan

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Tidak semua gambar memerlukan seribu kata. Kadangkala, cukup dengan satu bingkai visual, masyarakat dapat merasakan ketakutan, kesedihan, harapan dan denyut kehidupan yang sedang berlaku di hadapan mata jurufoto media -- insan di belakang lensa yang jarang mendapat perhatian.

Dalam era kecerdasan buatan (AI), manipulasi visual dan lambakan maklumat di media sosial, peranan jurufoto media kini menjadi semakin penting sebagai perakam realiti dan saksi kebenaran di lapangan.

Ad Banner
Ad Banner

Sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, pengorbanan dan cabaran dihadapi golongan itu wajar mendapat sorotan kerana mereka antara individu paling hampir dengan pelbagai tragedi, konflik, bencana dan denyut kehidupan masyarakat.

Walaupun wajah mereka jarang dikenali umum, hasil rakaman lensa mereka sering menjadi bukti paling kuat dalam menyampaikan emosi, penderitaan dan realiti sesuatu peristiwa kepada masyarakat.

Bagi Penolong Ketua Jurufoto The Star Zulazhar Sheblee, pengalaman lebih 30 tahun bertugas di lapangan mendedahkan beliau kepada pelbagai risiko keselamatan demi mendapatkan visual terbaik untuk tatapan masyarakat.

Malah, semasa bertugas di Utusan Malaysia, beliau pernah menjejaki tebusan Abu Sayyaf di Kepulauan Jolo, Filipina sehingga sanggup memasuki kawasan tahanan dan berdepan terus dengan mangsa culik demi mendapatkan laporan eksklusif.

Dalam tugasan berani itu, beliau bukan sahaja dapat merakam keadaan tempat tahanan dan menemu bual tebusan warga tempatan serta asing, malah berjaya mengatur pertemuan antara mangsa dengan wartawan selepas mendapat kepercayaan kumpulan penculik.

“Wartawan menulis cerita, tetapi jurufoto membekukan sejarah dalam satu bingkai. Tanpa gambar, banyak emosi dan kebenaran mungkin tidak sampai kepada masyarakat,” katanya yang turut berkongsi rasa bangga apabila laporan eksklusif itu memenangi Anugerah Kajai, antara detik paling bermakna dalam kerjayanya.

Zulazhar yang kini bertugas di Sarawak berharap pengiktirafan kepada jurufoto media terus diperkukuh, memandangkan mereka juga merupakan frontliner di belakang tabir yang memastikan masyarakat menyaksikan sendiri realiti sesuatu peristiwa melalui visual yang dirakam.

Beliau menegaskan etika dan integriti menjadi pembeza utama jurufoto media dengan jurugambar biasa kerana dalam dunia kewartawanan foto, setiap gambar menjadi dokumen sejarah, bukti visual dan sumber maklumat kepada masyarakat.

“Etika juga mendidik jurufoto agar sentiasa menghormati sensitiviti budaya, agama dan perasaan subjek dirakam. Ini penting ketika membuat liputan tragedi, kemalangan, kemiskinan atau situasi yang melibatkan kanak-kanak kerana wajah kanak-kanak tidak boleh dipaparkan,” katanya.

Beliau berkata jurufoto yang mengamalkan etika dan integriti akan lebih dihormati kerana sebuah gambar yang mempunyai nilai kebenaran, kejujuran dan rasa tanggungjawab jauh lebih bermakna daripada gambar yang sekadar menarik secara visual semata-mata.

Sepanjang kerjayanya, Zulazhar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) pernah memenangi Canon Photomarathon 2015 mewakili Malaysia ke Jepun serta menerima Anugerah Apresiasi Khas Premier Sarawak sempena sambutan kemuncak HAWANA 2023.

Sementara itu, jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhammad Naim Mohd Zamri berkata tugas tersebut menuntut tahap profesionalisme tinggi meskipun ada ketikanya mereka berhadapan persepsi atau layanan yang dianggap kurang setara berbanding wartawan.

Beliau yang berpengalaman hampir tujuh tahun dalam bidang itu berkata setiap tugasan di lapangan mengajar beliau untuk sentiasa bersedia menghadapi situasi tidak menentu terutama dalam era media sosial yang menuntut kepantasan dan ketepatan serentak.

Menyentuh perkembangan AI pada masa kini, Muhammad Naim mengakui teknologi itu banyak membantu aspek penyuntingan gambar dan teknikal, namun naluri serta kepekaan jurufoto dalam merakam momen sebenar masih sukar digantikan oleh sebarang algoritma.

“Dalam liputan berita, etika dan integriti sangat penting bagi memastikan gambar yang diambil menunjukkan situasi sebenar tanpa mengubah fakta atau menggunakan imej AI yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya.

Jurufoto sambilan Bernama Sabah Irwan Majid yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang fotografi pula berkata perkembangan AI mula memberi kesan kepada industri apabila ada pihak memilih menghasilkan gambar dan poster menggunakan teknologi itu tanpa mengupah jurufoto profesional.

Penerima Anugerah Foto Kewartawanan Cemerlang Institut Akhbar Malaysia (MPI) 2018 bagaimanapun menegaskan nilai emosi dan keaslian dalam gambar sebenar tetap tidak mampu digantikan oleh teknologi.

Beliau turut mengakui tugasan di Sabah mempunyai cabaran tersendiri berikutan faktor geografi dan bentuk muka bumi yang luas, namun negeri itu antara lokasi terbaik untuk menghasilkan gambar dengan unsur kemanusiaan atau human interest kerana kepelbagaian etnik dan budaya masyarakat Borneo yang unik serta mempunyai daya tarikan tersendiri.

Majlis kemuncak HAWANA yang bakal berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun merupakan platform utama negara dalam mengiktiraf sumbangan, dedikasi dan profesionalisme pengamal media di Malaysia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan