KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertahanan komited memperkukuh keupayaan dan kesiapsiagaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui pembangunan aset, teknologi serta modal insan bagi memastikan pasukan itu kekal unggul mempertahankan ruang udara negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sepanjang 68 tahun, TUDM telah menggalas amanah melindungi kedaulatan negara dengan penuh profesionalisme, keberanian dan dedikasi.
“TUDM memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan ruang udara negara serta menyokong pelbagai operasi bagi mempertahankan kepentingan dan kedaulatan negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook sempena sambutan Hari Ulang Tahun TUDM ke-68, hari ini.
Mohamed Khaled turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga serta veteran TUDM atas segala jasa, pengorbanan dan khidmat bakti mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Sejarah TUDM bermula apabila Ordinan Tentera Udara diluluskan Parlimen pada 2 Jun 1958, yang menyaksikan pasukan itu awalnya dikenali sebagai Tentera Udara Diraja Persekutuan.
Susulan pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963, nama pasukan itu kemudiannya ditukar kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial