Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Birarak Gawai Dayak Kampung Taee Pertahan Warisan Lebih Lima Dekad

01/06/2026 08:41 PM

SERIAN, 1 Jun (Bernama) -- Di sebalik warna-warni pakaian tradisional, paluan gong dan irama muzik etnik mengiringi Perarakan Gawai Dayak Kampung Taee hari ini, tersimpan kisah masyarakat setempat mempertahankan tradisi birarak yang diwarisi sejak 1970.

Ketika sebahagian adat dan amalan tradisional berhadapan cabaran perubahan zaman, komuniti Bidayuh di Kampung Taee yang terletak kira-kira 60 kilometer dari bandar Kuching, terus memastikan warisan sejak 56 tahun lepas kekal hidup menerusi penyertaan pelbagai generasi dalam acara perarakan atau birarak setiap tahun.

Malvern Lister, 42, berkata kesinambungan tradisi itu jelas terpancar apabila melihat dua anaknya menyertai perarakan itu, selepas dirinya sendiri mula terlibat semasa berusia 10 tahun, sebagai acara kemuncak sambutan Hari Gawai Dayak di kampung itu. 

Ad Banner
Ad Banner

“Keluarga kami termasuk ibu dan ayah saya juga pernah terlibat dengan birarak ini. Sekarang dua anak saya pula turut serta menjadikan tiga generasi sudah menyertai birarak. Saya berharap mereka akan terus mengekalkan tradisi ini pada masa depan.

“Kami bangga kerana masih dapat menganjurkan perarakan ini setiap tahun dan berharap lebih ramai orang datang ke Kampung Taee untuk mengenali budaya dan warisan Bidayuh,” katanya kepada Bernama.

Malvern berkata perarakan yang berkait rapat dengan tradisi menuai padi itu bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi medium menyatukan komuniti selain mengeratkan hubungan antara generasi lama dan baharu.

Semangat yang sama turut dikongsi McWilkins Benadik, 33, yang melihat perarakan sejauh lima kilometer mengelilingi kampung itu sebagai platform penting untuk memperkenalkan budaya masyarakat Bidayuh kepada dunia luar.

Bapa kepada seorang anak itu berkata setiap tahun Kampung Taee menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin menyaksikan sendiri cara masyarakat Bidayuh Bukar di Serian meraikan Hari Gawai Dayak.

“Ini bukan sahaja membantu memperkenalkan budaya kami kepada dunia luar, malah turut memberi manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi komuniti setempat,” katanya.

Kehadiran pengunjung luar negara pada perarakan tahun ini membuktikan daya tarikan acara tersebut semakin melangkaui sempadan Sarawak.

Aaron Richards, 42, dari Amerika Syarikat yang bekerja di Kuala Lumpur berkata ia pengalaman pertamanya menghadiri sambutan Gawai Dayak selepas diajak teman wanitanya yang berketurunan Bidayuh untuk meraikan sambutan itu dengan keluarganya di Sarawak.

“Ini kali pertama saya menyertai acara seperti ini, jadi saya tidak sabar untuk melihat budaya tempatan dan berinteraksi dengan masyarakat setempat,” katanya.  

Turut berkongsi minat terhadap budaya tempatan ialah James Handfield-Jones dari United Kingdom yang berkata budaya Bumi Kenyalang menjadi tarikan utama yang membuatkannya terus menyertai pelbagai sambutan Hari Gawai selepas lebih dua dekad menetap di Sarawak.

Ibarat peribahasa “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, perarakan anjuran Jawatankuasa Pengelola Gawai Taee dan JKKK Kampung Taee kekal relevan sebagai lambang identiti masyarakat Bidayuh meskipun berhadapan dengan arus pemodenan. 

Pada tahun ini, birarak menghimpunkan kira-kira 3,000 peserta dan pengunjung.

Selain mengelilingi kampung, peserta perarakan itu turut singgah di beberapa hentian untuk berinteraksi dengan penduduk dan menyertai pelbagai aktiviti kebudayaan yang menjadi sebahagian daripada sambutan berkenaan.

Sementara itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2026 berkata penganjuran perarakan itu membantu memperkenalkan budaya masyarakat Sarawak kepada rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata saluran televisyen tempatan dan platform digital seperti YouTube membolehkan keunikan budaya pelbagai kaum di Sarawak dipaparkan kepada khalayak yang lebih luas, selain berterima kasih kepada pengamal media untuk liputan mempromosikan acara itu. 

“Melalui YouTube, budaya ini turut didedahkan kepada masyarakat antarabangsa dan menarik minat mereka untuk mempelajari kehidupan masyarakat Sarawak yang berbilang kaum dan agama,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan