Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pusat Perubatan Sunway Pulau Pinang Rasmi Pusat Ortopedik Dan Spina 

02/06/2026 04:28 PM

BUTTERWORTH, 2 Jun (Bernama) -- Pembukaan rasmi Pusat Ortopedik dan Spina di Pusat Perubatan Sunway Pulau Pinang melambangkan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh peranan hospital itu sebagai destinasi utama bagi penjagaan ortopedik dan spina termaju di utara Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif pusat perubatan itu, Christine Lee Chwee Ngoh berkata pusat baharu itu memperlihatkan komitmen hospital berkenaan untuk membawa inovasi penjagaan kesihatan bertaraf dunia serta rawatan khusus lebih dekat kepada komuniti di Pulau Pinang dan wilayah utara.

“Kami berbesar hati menyokong visi Penang2030 dengan membawa inovasi penjagaan kesihatan bertaraf dunia serta penjagaan penuh belas ihsan … ,” katanya pada majlis pelancaran rasmi pusat itu hari ini, yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Ad Banner
Ad Banner

Turut hadir Presiden Sunway Healthcare Group Datuk Lau Beng Long serta Pengarah Urusan Hospital dan Operasi Penjagaan Kesihatan kumpulan itu, Dr Khoo Chow Huat.

Lee berkata pesakit kini boleh mendapatkan rangkaian perkhidmatan ortopedik dan spina di bawah satu bumbung, termasuk penjagaan spina khusus, prosedur penggantian sendi dengan bantuan penggunaan robot, pembedahan, pengurusan trauma serta pemulihan dan fisioterapi.

Beliau berkata misi pusat itu bukan sekadar teknologi dan prosedur perubatan semata-mata.

“Pada setiap pembedahan dan proses pemulihan pesakit mendambakan untuk dapat berjalan semula tanpa kesakitan, kembali bekerja atau meluangkan masa bermakna bersama orang tersayang. Inilah tujuan sebenar di sebalik segala yang kami lakukan,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata pembukaan pusat berkenaan bukan sekadar penambahan fasiliti perubatan baharu, sebaliknya mencerminkan komitmen bersama untuk membantu rakyat menjalani kehidupan yang lebih sihat, aktif dan produktif.

“Banyak pekerjaan hari ini memberikan banyak tekanan kepada tubuh badan. Lama-kelamaan, sakit belakang, masalah sendi dan keadaan muskuloskeletal lain boleh menjejaskan mobiliti, produktiviti serta kualiti hidup,” katanya.

“Justeru, kemudahan seperti Pusat Ortopedik dan Spina termaju itu amat penting. Ia membantu rakyat kekal aktif, berdikari dan terus menyumbang secara bermakna kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menyambut baik pendekatan bersepadu pusat berkenaan yang menggabungkan rawatan khusus, perkhidmatan pemulihan dan teknologi perubatan termaju di bawah satu bumbung, sekali gus membolehkan pesakit menerima penjagaan yang lebih menyeluruh.

Pada masa sama, Chow menggesa penyedia perkhidmatan kesihatan agar terus mengejar kecemerlangan dalam kepakaran perubatan dan kemajuan teknologi, di samping memastikan penjagaan kesihatan kekal mudah diakses dan mampu milik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan