Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

RM500,000 Diperuntuk Bagi Program Kampung Angkat MADANI BHEUU Di Kampung Tanjung Serindit

02/06/2026 06:20 PM

KOTA TINGGI, 2 Jun (Bernama) -- Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri di Kampung Tanjung Serindit, Ladang Sungai Papan di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pelbagai sesi libat urus dan lawatan tapak telah dilaksanakan bagi mengenal pasti keperluan sebenar komuniti berkenaan.

Beliau berkata beberapa projek utama telah dipersetujui, antaranya pemasangan lampu solar, menaik taraf surau dan masjid serta turapan jalan kampung Orang Asli.

Ad Banner
Ad Banner

“Selain itu, turut dinaik taraf adalah tandas awam di kawasan jeti, Jalan Kampung Muhibbah, pembinaan mercu tanda kampung, penambahbaikan landskap jeti serta pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI di kampung berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata setiap projek dirancang berdasarkan keperluan sebenar masyarakat setempat hasil perbincangan bersama penduduk dan pihak berkepentingan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata GiatMARA dilantik sebagai rakan strategik dan agensi teknikal bagi pelaksanaan Program TVET dengan peruntukan RM100,000.

Beliau berkata program yang dilaksanakan akan memberi fokus kepada kemahiran penyelenggaraan dan pembaikan motor bot serta penyelenggaraan sistem penyaman udara. 

“Kemahiran ini amat relevan dengan keperluan ekonomi setempat dan berpotensi membuka peluang pekerjaan serta menjana pendapatan tambahan kepada penduduk,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar inisiatif yang akan dilaksanakan dapat meningkatkan kualiti hidup, menambah baik kemudahan asas dan struktur awam serta memperkasa pembangunan modal insan dan komuniti berkenaan.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan