Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli
KUALA LUMPUR, 3 Jun -- Pengunjung yang melangkah masuk ke “terowong imersif” Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) bukan sekadar melalui ruang pameran biasa sebaliknya dibawa menelusuri gambaran masa depan landskap tenaga Malaysia dalam tempoh 25 tahun akan datang.
Menjadi antara tarikan utama persidangan itu, terowong yang dilengkapi paparan digital interaktif dan visual animasi itu menterjemahkan konsep rumit seperti tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga bateri, hidrogen, pemerangkapan karbon dan tenaga nuklear kepada pengalaman yang boleh dilihat, disentuh serta diterokai oleh pengunjung.
Berbeza dengan papan maklumat statik, pengunjung disambut dengan grafik bergerak, panel bercahaya dan pameran berasaskan sentuhan yang mengisahkan perjalanan negara ke arah mencapai pelepasan sifar bersih.
Di satu bahagian hujung terowong, paparan garis masa visual berskala besar menggambarkan transformasi campuran tenaga negara yang dijangka berlaku dari tahun 2025 hingga 2050, dengan teknologi baharu termasuk hidrogen dan tenaga nuklear berpotensi melengkapi sumber penjanaan sedia ada ketika permintaan elektrik terus meningkat.
Pengunjung turut berpeluang meneroka pelbagai pameran interaktif yang mengetengahkan teknologi dijangka memainkan peranan lebih besar dalam peralihan tenaga seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), pemasangan solar terapung, kemudahan hidroelektrik dan rangkaian kuasa serantau yang dipersembah melalui pengalaman visual menarik serta mudah difahami.
Antara segmen yang mencuri perhatian ialah pameran teknologi solar terapung menerusi visual digital yang menunjukkan bagaimana panel solar boleh dipasang di permukaan air bagi menjana tenaga bersih.
Turut menjadi tumpuan inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG) yang dipapar menerusi peta serantau bercahaya bagi menggambarkan bagaimana rangkaian tenaga rentas sempadan dapat diperkukuh pada masa hadapan untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga boleh baharu di rantau ini.
Terowong itu turut mengetengahkan teknologi yang masih menjadi perbincangan dalam kalangan masyarakat termasuk pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), pengeluaran hidrogen serta tenaga nuklear.
Menerusi pendekatan penceritaan visual, pameran itu memperinci bagaimana teknologi berkenaan berpotensi membantu mengurangkan pelepasan karbon sambil memenuhi keperluan tenaga yang terus meningkat.
Bagaimanapun, tarikan itu tidak hanya tertumpu kepada aspek infrastruktur tenaga, dan antara stesen yang paling mendapat sambutan ialah kios foto dikuasakan kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan pengunjung menjadi sebahagian daripada pameran.
Pengunjung boleh memilih pakaian bertemakan futuristik, bergambar dan melihat imej mereka diubah serta dipaparkan pada skrin digital bersaiz besar.
Gambar peribadi berserta nama pengunjung turut ditampilkan dalam paparan visual bergerak terowong itu, dan boleh dimuat turun sebagai kenang-kenangan.
Selepas itu, pengunjung akan cuba mengenal pasti versi digital diri mereka dalam paparan visual bergerak sekali gus menghasilkan pengalaman yang menyatukan teknologi, hiburan dan pendidikan.
Pengunjung yang keluar dari terowong itu akan pulang membawa kesedaran bahawa peralihan tenaga bukan lagi sekadar konsep asing yang dibincangkan dalam dokumen dasar atau mesyuarat tertutup sebaliknya sesuatu yang boleh dilihat, disentuh dan difahami.
Edisi kedua ETCon26 itu, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 3 hingga 5 Jun ini, adalah persidangan utama anjuran TNB menghimpunkan pemegang taruh global bagi mempercepat pelaksanaan agenda peralihan tenaga negara.
Bertemakan Energy & AI: The Synergy for Energy Transition, persidangan itu berteraskan tiga tonggak kandungan utama iaitu Energy for AI, AI for Energy dan Energy Transition (ET) for People yang menggambarkan kebergantungan semakin ketara antara sistem tenaga dengan teknologi digital.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial