KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Bekalan gas di Malaysia kekal stabil serta mencukupi buat masa ini dengan sebahagian besar penjanaan elektrik negara disokong oleh sumber domestik, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang.
Beliau berkata kerajaan terus memantau perkembangan industri itu dari semasa ke semasa dan mendapati jumlah bekalan gas untuk kegunaan domestik tidak berada di tahap membimbangkan setakat ini.
"Setahu saya, untuk penjanaan elektrik dalam Malaysia 80 peratus (datang dari sumber) domestik... jadi, kita tidak terlalu bergantung pada bekalan luar… buat masa sekarang, memang bekalan cukup dan kita tidak perlu bimbang sangat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Revolutionising Industry with Graphene di sini hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas Malaysia Bhd (Gas Malaysia) Azli Mohamed pula berkata tiada kekangan dihadapi dalam industri berdasarkan operasi di seluruh negara dengan bekalan utama daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
"Kita tidak terlalu bergantung kepada bekalan dari Asia Barat... jadi secara dasarnya, sektor industri tidak berdepan dengan masalah dari segi keperluan... kita boleh bekalkan kepada 1,000 lebih pelanggan kita," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata impak dalam industri berkenaan melibatkan elemen lain termasuk kos pengangkutan yang meningkat serta rantaian bekalan antaranya industri getah yang bergantung untuk mendapatkan bekalan bahan dari Korea dan China.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial