Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Fadhlina Hasrat Terbit Lebih Banyak Buku Kanak-kanak, Pupuk Budaya Membaca

04/06/2026 12:24 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menunjukkan komitmen beliau dalam memperkasakan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak menerusi penerbitan buku baharu bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Menerusi hantaran Facebook, Fadhlina berkata beliau berhasrat untuk memastikan setiap penyertaannya di PBAKL pada masa akan datang disertai dengan penerbitan buku khusus untuk golongan kanak-kanak.

Beliau berkata buku terbaharu yang diterbitkan tahun ini hasil kerjasama dengan penulis dan ilustrator Emilia Yusof, antaranya bertajuk Harimau Berani Bicara, Penyu Yang Hebat, Kongsi Dengan Kawan, Orang Utan dan Warna, Mana Gajah? dan Peluang Kedua.

Ad Banner
Ad Banner

“Alhamdulillah, kali ini bergandingan dengan Emilia Yusof, kami ada buku baharu untuk dikongsikan. Asalnya, saya yang cerewet memilih buku kanak-kanak. Maka, kami fikir bagaimana jika kita sendiri yang mengeluarkannya?

“Kolaborasi pasukan saya dan pasukan Emilia menjadikan buku ini sangat istimewa. Kami berdua sangat percaya bahawa segmen kanak-kanak sangat penting dalam memupuk budaya membaca,” katanya.

Fadhlina berkata buku kanak-kanak bukan sekadar bahan bacaan, sebaliknya menjadi cerminan penting bangsa yang kaya dengan nilai, kasih sayang dan empati.

“Pada saat kita berhadapan dengan kebanjiran idola tetapi kemarau teladan, pastinya suri teladan daripada kisah kanak-kanak sangat signifikan untuk dimartabatkan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau mengajak pengunjung PBAKL 2026 untuk singgah dan mendapatkan buku berkenaan di reruai No 818 serta mendaftar sebagai komuniti Kelab Perempuan Membaca.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan