MELAKA, 4 Jun (Bernama) -- Dalam usaha memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, Melaka kini menawarkan kemudahan Farmasi Pandu Lalu di empat lokasi bagi memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat tanpa perlu beratur panjang di kaunter.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata empat lokasi berkenaan yang menyediakan perkhidmatan itu ialah Hospital Melaka, Klinik Kesihatan Masjid Tanah, Klinik Kesihatan Umbai dan Klinik Kesihatan Merlimau.
"Inisiatif ini dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di bawah Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi yang membolehkan pesakit mengambil ubat tanpa perlu turun daripada kenderaan.
“Pelaksanaan kemudahan ini juga dapat mengurangkan kesesakan di kaunter farmasi di samping mempercepatkan proses pengambilan ubat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Ab Rauf berkata inisiatif tersebut juga selaras dengan agenda Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang menzahirkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan melalui penyampaian perkhidmatan lebih pantas, mudah dan berkesan.
Beliau berkata kerajaan negeri yakin pelaksanaan Farmasi Pandu Lalu itu bukan sahaja mampu meningkatkan kecekapan operasi perkhidmatan kesihatan, malah turut mempertingkat kualiti hidup rakyat Melaka secara menyeluruh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial