Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

HAWANA 2026: 113 Rakan Strategik Terima Penghargaan

04/06/2026 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Sebanyak 113 rakan strategik penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 menerima penghargaan sebagai tanda pengiktirafan atas kerjasama dan sokongan mereka dalam menjayakan sambutan itu tahun ini.

Penghargaan berkenaan disampaikan pada Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2026 yang dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching di sebuah hotel, di sini hari ini.

Dalam ucapan pada majlis itu, Teo merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik atas iltizam serta sokongan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan penganjuran HAWANA yang memasuki edisi keenam tahun ini.

Ad Banner
Ad Banner

"Majlis ini menjadi bukti sinergi berterusan antara kementerian dengan rakan strategik, manakala penganjuran HAWANA mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menghargai dan mengiktiraf peranan serta sumbangan pengamal media dalam melaksanakan pembangunan negara," katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Ghopran Yeop Hamzah.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) merangkap Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak, serta Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson.

Antara rakan strategik HAWANA 2026 ialah Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Monsta Studios Sdn Bhd, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), J&T Express (Malaysia) Sdn Bhd, Balai Seni Negara, University of Cyberjaya, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Rakan strategik lain ialah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) serta Universiti Poly-Tech Malaysia (UTPM).  

Turut menyokong penganjuran itu ialah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Yayasan Peneraju, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), KDEB Waste Management, CelcomDigi, MTD Properties, Johor Corporation dan syarikat kumpulannya, Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) serta Sunway University.

Sambutan HAWANA 2026 akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang, dari 19 hingga 21 Jun ini, dengan Majlis Kemuncaknya pada 20 Jun dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengangkat tema "Media Berintegriti, Teras Kredibiliti", sambutan itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta termasuk pengamal media tempatan serta wakil media dari luar negara.

Selain menjadi wadah memperkukuh profesionalisme kewartawanan, HAWANA 2026 turut berperanan sebagai platform strategik untuk memperkasakan peranan media dalam mendepani landskap komunikasi yang semakin kompleks dan mencabar.

HAWANA 2026 yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana menampilkan pelbagai program, antaranya Fun Walk HAWANA pada 14 Jun, Majlis Makan Malam Media Bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada 19 Jun, Pameran HAWANA pada 20 Jun serta program Mai RIUH@HAWANA dari 19 hingga 21 Jun.

Sebelum ini, Forum Media HAWANA telah diadakan pada 7 Mei manakala Pesta Pantun HAWANA-Dewan Bahasa dan Pustaka berlangsung pada 9 Mei lepas.

HAWANA yang disambut pada setiap 29 Mei bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan pengamal media dalam membentuk masyarakat bermaklumat serta memacu perkembangan industri kewartawanan negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan