Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PPD Sabak Bernam Tampil Konsep Reka Bentuk Industri

04/06/2026 07:32 PM

SABAK BERNAM, 4 Jun (Bernama) -- Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam yang dibina dengan kos RM16.93 juta merupakan PPD pertama di Malaysia mengaplikasikan konsep reka bentuk industri pada ruang dalamannya.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Shukri Ishak berkata bangunan baharu itu dibangunkan bagi menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan pendidikan di daerah berkenaan.

"Bangunan ini merupakan bangunan PPD pertama di Malaysia yang menggunakan konsep industrial design (reka bentuk industri) bagi reka bentuk konvensional dalaman, sekali gus memberikan satu identiti visual yang unik, segar dan moden bagi bangunan di bawah portfolio Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner

"Pihak JKR Selangor selaku agensi pelaksana amat berharap agar bangunan baharu ini dapat memberikan impak yang signifikan terhadap mutu penyampaian perkhidmatan pendidikan di Selangor dan Sabak Bernam secara khusus," katanya dalam ucapan sembah taklimat pada majlis pelancaran bangunan itu di sini hari ini.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan bangunan itu hari ini, sebagai antara pengisian hari kedua Program Gagasan Rumpun Selangor (GRS) Daerah Sabak Bernam 2026.

Shukri berkata projek pembinaan bangunan berkenaan dilaksanakan dalam tempoh 183 minggu bermula dari tarikh milik tapak pada 21 Julai 2021 dan siap sepenuhnya pada 19 Mac lepas.

Beliau berkata ruang bangunan empat tingkat itu dioptimumkan dengan 90 bilik dan ruang kerja selain dilengkapi tiga kaunter urusan mesra pelanggan serta 11 pintu keluar yang memenuhi piawaian keselamatan kecemasan.

Pembinaan bangunan itu, katanya mencerminkan komitmen semua pihak dalam memastikan pelaksanaan projek secara menyeluruh termasuk penggunaan bahan berkualiti tinggi bagi menjamin struktur yang mampan.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam Marhani M. Haniff berkata kemudahan baharu itu dijangka memberi manfaat besar kepada operasi pengurusan PPD yang melibatkan 71 warga kerja terdiri daripada 43 pegawai dan 28 ahli kumpulan pelaksana.

“Kemudahan kondusif ini akan memenuhi keperluan pentadbiran 64 sekolah keseluruhan yang terdiri daripada 46 sekolah rendah dan 18 sekolah menengah bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan 20,534 orang pelajar di daerah ini.

“Fasiliti serba moden itu turut menyokong kekuatan 2,242 guru serta 398 staf sokongan ahli kumpulan pelaksana di sekolah bagi mengekalkan momentum kecemerlangan prestasi pendidikan tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan