BATU PAHAT, 4 Jun (Bernama) -- Insentif Mahasiswa Anak Johor (IMAJ) yang diwujudkan oleh kerajaan negeri dilihat mampu membantu kelangsungan pelajar ketika mereka berada di kampus, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah B40.
Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Muhammad Razif Razak, 24, berkata bantuan secara sekali beri sebanyak RM200 itu dapat membantunya meneruskan kehidupan seharian sebagai pelajar, dengan kebanyakannya digunakan untuk membeli barangan bagi tugasan pembelajaran.
Pelajar program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional itu berkata bantuan yang diperoleh pada Mac lepas telah digunakan sebaik mungkin, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Saya juga dapat meringankan beban ibu bapa saya dengan tidak perlu meminta wang daripada mereka untuk membeli beberapa barangan tertentu seperti melaksanakan ‘projek’ dalam pembelajaran di universiti ini.
“Saya yang kini belajar di tahun akhir berharap pada semester akan datang, IMAJ ini dapat diteruskan lagi kerana saya akan menjalani latihan praktikal yang sudah pasti memerlukan lebih banyak perbelanjaan,” katanya ketika ditemui Bernama semasa program Ayuh Johor Mahasiswa UTHM di sini hari ini.
Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Aznan Tamin serta Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Mohd Fared Mohd Khalid.
Sementara itu, Chia Yi Xin, 23, pula berkata beliau akan menggunakan wang sumbangan IMAJ itu sebagai duit kecemasan apabila diperlukan dan ketika ini wang itu disimpan dalam akaun simpanannya.
“Buat masa ini, wang pinjaman PTPTN masih ada lagi setelah ditolak daripada yuran semester ini dan saya hanya akan menggunakan (IMAJ) apabila diperlukan, terutamanya pada waktu kecemasan seperti kerosakan kenderaan dan sebagainya,” kata pelajar semester empat dalam bidang kejuruteraan mekanikal itu.
R. Yogendren, 26, yang juga pelajar kejuruteraan mekanikal berkata wang bantuan IMAJ itu sangat bermakna kepada golongan pelajar sepertinya bagi meringankan perbelanjaan harian.
“Antara keperluan yang dapat dibeli adalah alat bantuan belajar seperti peralatan asas kejuruteraan yang perlu dimiliki oleh pelajar yang mengambil jurusan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri telah menyalurkan banyak bantuan kepada rakyat bertujuan meringankan beban, sekali gus menjadi komitmen kerajaan negeri memulangkan semula pendapatan yang diperoleh seperti Bantuan Kasih Johor (BKJ), IMAJ dan sebagainya.
“Kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dengan menarik pelabur datang ke negeri ini, seterusnya membuka peluang pekerjaan. Oleh itu, saya menyeru anak Johor agar menabur bakti untuk negeri ini dan tidak perlu merantau ke tempat lain termasuk Singapura,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial