KOTA BHARU, 4 Jun (Bernama) -- Pembangunan bangunan baharu Hospital Pakar KPJ Perdana mampu menjadi pemangkin kepada usaha Kelantan untuk muncul sebagai hab pelancongan kesihatan serantau dengan keupayaan menarik lebih ramai pesakit dari negara jiran mendapatkan rawatan berkualiti di negeri itu.
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata projek berkenaan bukan sahaja meningkatkan akses rakyat kepada rawatan pakar, tetapi juga menyokong agenda kerajaan negeri memperkasakan sektor pelancongan kesihatan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini telah mengetengahkan potensi sektor kesihatan, hospitaliti dan pelancongan mesra keluarga pada siri promosi pelaburan dan pelancongan di Jakarta, Indonesia.
“Kewujudan kemudahan kesihatan moden, lengkap dan berdaya saing seperti Hospital Pakar KPJ Perdana akan menjadi pemangkin penting dalam menarik lebih ramai pelancong kesihatan dari luar negara, khususnya Indonesia dan negara serantau,” katanya berucap pada majlis pelancaran pembangunan bangunan baharu hospital berkenaan di sini hari ini.
Mohd Nassuruddin berkata pembangunan hospital itu turut membantu memastikan rakyat Kelantan mendapat akses kepada rawatan pakar dan perkhidmatan kesihatan yang lebih komprehensif tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kemudahan rawatan di luar negeri.
Sementara itu, Pengerusi KPJ Healthcare Berhad Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata pembangunan hospital berkenaan melibatkan pelaburan tinggi dan dijangka meningkatkan kapasiti hospital kepada lebih 300 katil menjelang 2030 berbanding kira-kira 150 katil ketika ini.
Beliau berkata projek itu turut merangkumi penambahan tiga dewan bedah baharu menjadikan keseluruhannya enam dewan bedah, selain lebih 80 klinik pakar, pusat onkologi lengkap dengan kemudahan radioterapi, unit rawatan rapi, perkhidmatan dialisis serta fasiliti penjagaan harian.
Pembukaan laluan penerbangan terus Jakarta-Kota Bharu, katanya membuka peluang besar kepada Kelantan untuk menerima pesakit dari Indonesia serta selatan Thailand bagi mendapatkan rawatan di negeri itu.
“KPJ Perdana bersedia memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan pelancongan kesihatan negeri ini melalui penyediaan rawatan pakar yang lebih komprehensif dan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata hospital yang beroperasi sejak 2002 itu kini mempunyai 32 pakar dalam lebih 10 bidang kepakaran dan akan terus menambah perkhidmatan subkepakaran pada masa depan bagi memenuhi keperluan rawatan yang semakin kompleks dalam kalangan masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial