Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tokoh Korporat, Pemimpin Komuniti Tan Sri V. Jeyaratnam Meninggal Dunia Pada Usia 101 Tahun

04/06/2026 08:51 PM

IPOH, 4 Jun (Bernama) -- Tokoh korporat dan pemimpin komuniti terkemuka Tan Sri V. Jeyaratnam meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Jalan Tun Dr Ismail di sini pada 7.34 pagi tadi pada usia 101 tahun.

Perak Turf Club (PTC) mengumumkan pemergian beliau menerusi laman Facebook kelab itu hari ini.

Pengerusi PTC Datuk John Lim Ewe Chuan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan menyifatkan Jeyaratnam sebagai pemimpin berwibawa yang meninggalkan legasi besar kepada masyarakat.

Ad Banner
Ad Banner

“Tan Sri Jeyaratnam merupakan seorang tokoh yang amat dihormati dalam landskap korporat dan kemasyarakatan di Perak malah kepimpinan, visi dan komitmen beliau dalam berkhidmat kepada masyarakat telah memberi impak yang berkekalan kepada ramai pihak.

“Bagi pihak Perak Turf Club, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai mendiang atas kehilangan insan yang begitu berjasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Lim berkata Jeyaratnam, yang juga Pengerusi PTC dari 1983 hingga 2018, dikenali melalui penglibatan aktifnya dalam pembangunan sukan ekuestrian dan pelbagai inisiatif kebajikan masyarakat.

"Beliau menerajui Perak Turf Club selama 35 tahun sekali gus menjadikannya pengerusi paling lama berkhidmat dalam sejarah mana-mana kelab lumba kuda di Malaysia," katanya.

Beliau berkata mendiang turut memainkan peranan penting dalam Yayasan Sultan Idris Shah (YSIS) yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pendidikan dan menyalurkan bantuan sosial kepada golongan memerlukan.

Jeyaratnam meninggalkan tiga anak iaitu Jeyarajah, Jeyamalar dan Ratnamalar serta dua cucu, Shankar dan Jeyanthi.

Upacara penghormatan terakhir akan diadakan pada 8.45 malam esok di Gereja Katolik St. Michael, Jalan Gereja di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan