KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Malaysia perlu memperkukuh undang-undang alam sekitar dan penguatkuasaan memandangkan perubahan iklim terus mencetuskan ancaman yang semakin meningkat terhadap kesihatan awam, sumber pendapatan, ekosistem, keselamatan makanan serta sumber air, kata aktivis alam sekitar Tan Sri Lee Lam Thye.
Bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut hari ini, Lee berkata sambutan itu menjadi peringatan penting tentang tanggungjawab bersama untuk melindungi dan memelihara alam sekitar demi generasi masa kini dan akan datang.
Beliau berkata tema tahun ini “Tindakan Iklim”, amat bertepatan dan penting memandangkan kesan perubahan iklim semakin ketara di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
"Di seluruh dunia dan semakin ketara di Malaysia, kita sedang menyaksikan kesan perubahan iklim menerusi peningkatan suhu, keadaan cuaca ekstrem, banjir kilat, kemarau yang berpanjangan, hakisan pantai, kehilangan biodiversiti, serta ancaman terhadap keselamatan makanan dan bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee berkata walaupun Malaysia memiliki sumber semula jadi yang kaya, dengan hutan yang luas, hidupan liar dan ekosistem yang pelbagai, aset amat bernilai itu kini berdepan tekanan semakin meningkat akibat kemerosotan alam sekitar, pencemaran, penebangan hutan, pembangunan yang tidak mampan serta kesan perubahan iklim.
Beliau berkata antara isu alam sekitar yang mendesak dan sedang dihadapi negara ialah kesan perubahan iklim terhadap kesihatan awam, sumber pendapatan dan ekosistem, peningkatan kejadian banjir kilat dan cuaca ekstrem, pencemaran sungai dan laut termasuk pencemaran sisa plastik, penebangan hutan dan kemusnahan habitat yang mengancam biodiversiti serta hidupan liar.
Lee berkata aktiviti pembuangan sisa haram, amalan pengurusan sisa yang lemah, peningkatan pelepasan karbon serta keperluan untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh dibaharui juga memerlukan perhatian segera.
"Sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia, kita perlu mengakui bahawa usaha melindungi alam sekitar bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Ia memerlukan penyertaan aktif daripada setiap individu, komuniti, ahli perniagaan, institusi pendidikan dan pertubuhan masyarakat awam," katanya.
Sehubungan dengan itu, Lee menyeru agar tindakan segera diambil untuk memperluaskan usaha pemuliharaan, melindungi hutan dan kawasan tadahan air, menggalakkan pembangunan mampan, mengurangkan sisa, serta mengamalkan gaya hidup yang lebih hijau, di samping memperkukuh pendidikan alam sekitar di semua peringkat.
“Setiap tindakan kecil, daripada mengurangkan penggunaan plastik, menjimatkan tenaga dan air, menanam pokok, mengitar semula serta menyokong amalan lestari, mampu memberikan impak besar apabila dilakukan secara kolektif.
“Bersama-sama, marilah kita mengulangi komitmen untuk memelihara alam sekitar, menangani perubahan iklim, dan membina Malaysia yang lebih hijau, bersih, sihat serta lestari untuk semua. Selamat Hari Alam Sekitar Sedunia 2026,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial