PUTRAJAYA, 5 Jun (Bernama) -- Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa sekatan akses terhadap portal MyKhas Ahli Parlimen Petaling Jaya dan Subang tidak menjejaskan hak mereka sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata peruntukan disalurkan menerusi laman sesawang MyKhas adalah peruntukan khas Perdana Menteri dan tidak melibatkan sebarang kemudahan atau hak lain yang diberikan kepada wakil rakyat melalui Parlimen.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut berkata penduduk di kedua-dua kawasan Parlimen itu masih boleh mengemukakan permohonan bantuan melalui saluran disediakan.
"Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) telah membuat kenyataan bahawa penduduk di kedua-dua Parlimen masih boleh membuat permohonan yang akan diteliti oleh pihak ICU JPM untuk diluluskan.
"Jadi tidak timbul isu mengenai aspek dari segi permohonan dan peruntukan," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Fahmi berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung bahawa pejabat mereka tidak dapat mengakses sistem MyKhas, sekali gus menjejaskan urusan permohonan peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi kawasan masing-masing.
Semalam, ICU JPM memberi jaminan bahawa segala bentuk peruntukan kepada rakyat akan terus disalurkan dan dikendalikan secara langsung bagi memastikan kebajikan mereka tidak terjejas.
Agensi penyelaras itu turut memaklumkan peranannya akan terus dijalankan dengan penuh tertib bagi memastikan pelaksanaan program dan inisiatif kerajaan berjalan dengan lancar, tersusun serta memberikan manfaat kepada masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial