Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Modul Geoentrepreneur Tingkat Kualiti Usahawan Geopark Lenggong

06/06/2026 04:45 PM

LENGGONG, 6 Jun (Bernama) -- Modul Kursus Usahawan di bawah Program GeoEntrepreneur Lenggong Geopark merupakan modul pembangunan usahawan geopark pertama di negara ini yang bertujuan memperkukuh kapasiti pemain industri pelancongan dan perkhidmatan di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Geokomuniti Lenggong Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata inisiatif itu merupakan satu lagi pencapaian penting selepas Lenggong muncul sebagai geopark pertama negara yang memperkenalkan modul “GeoSchool” sebelum ini.

Beliau berkata GeoEntrepreneur dibangunkan bagi meningkatkan kemahiran dan kualiti usahawan tempatan dalam pelbagai sektor termasuk penginapan, makanan, pengangkutan, pengurusan acara dan perkhidmatan pelancongan.

Ad Banner
Ad Banner

"Ini modul GeoEntrepreneur yang pertama di Malaysia. Tidak ada mana-mana geopark di negara ini yang mempunyai modul seperti ini.

"Sebelum ini kita telah melancarkan GeoSchool dan menjadi geopark pertama yang mempunyai modul tersebut. Kali ini kita membina satu lagi modul untuk meningkatkan kualiti usahawan tempatan supaya mereka mampu menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelancong," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran GeoEntrepreneur Lenggong UNESCO Global Geopark yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Shamsul Anuar, yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Lenggong, berkata program itu memberi penekanan kepada pembangunan pengusaha pelancongan berasaskan komuniti bagi memenuhi kehendak pelancong yang semakin cenderung kepada pengalaman autentik dan berteraskan alam semula jadi.

Beliau berkata walaupun Lenggong tidak mempunyai banyak hotel bertaraf empat atau lima bintang, kawasan itu mempunyai potensi besar menerusi resort, chalet dan inap desa yang menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung.

"Pelancong, khususnya dari barat lebih tertarik kepada suasana alam semula jadi yang berbeza antara satu destinasi dengan destinasi lain. 

"Oleh sebab itu, kita mahu memastikan pengusaha tempatan mampu menyediakan kemudahan dan perkhidmatan berkualiti tinggi walaupun bukan dalam bentuk hotel bertaraf antarabangsa," katanya.

Beliau berkata menerusi program itu, satu direktori pelancongan akan diwujudkan bagi memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan penginapan, lokasi makanan, produk pelancongan dan aktiviti menarik di Lenggong menerusi penggunaan sistem kod respons pantas (QR).

Shamsul Anuar berkata pembangunan GeoEntrepreneur turut menjadi sebahagian daripada persiapan Lenggong untuk menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara bertaraf antarabangsa termasuk “Lenggong Dialogue” yang dijadual berlangsung pada Disember depan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya bercadang mempatenkan modul GeoEntrepreneur bagi memastikan ia menjadi hak milik intelektual Lenggong UNESCO Global Geopark.

Beliau berkata langkah itu penting bagi melindungi modul yang dibangunkan melalui kepakaran tempatan serta membolehkan Lenggong muncul sebagai pusat rujukan latihan usahawan geopark di negara ini.

“Selain itu, Kolej Komuniti Gerik (Cawangan Lenggong) pula akan berperanan sebagai pusat latihan utama bagi melahirkan lebih ramai usahawan geopark dari seluruh negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Lenggong sebagai peneraju pembangunan komuniti berasaskan geopark di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan