ALOR SETAR, 6 Jun (Bernama) -- Pergerakan pengakap perlu membuktikan bahawa ia bukan sekadar sinonim dengan aktiviti perkhemahan, malah mampu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi komuniti, antaranya menerusi penglibatan dalam sektor penternakan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Ahmad Sabri Saad berkata langkah proaktif itu sekali gus membuktikan keupayaan pergerakan itu dalam menguasai sektor ekonomi serta memperkasakan rantaian bekalan makanan moden negara.
"Kita mahu melahirkan ahli yang bukan sahaja mahir mengikat tali, tetapi juga bijak mengikat peluang ekonomi, bukan sahaja cekap membaca kompas, malah jelas membaca hala tuju masa depan masyarakat," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Pengakap Negara Mej Jen (B) Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin pada Majlis Pelancaran Pengakap Berasaskan Komuniti dan Program Menjana Pendapatan Melalui Ternakan Lembu Hibrid Pengakap Negeri Kedah di Pusat Khidmat Komuniti Jeniang dekat Sik, hari ini.
Ahmad Sabri berkata langkah Majlis Pengakap Negeri Kedah melancarkan program menjana pendapatan melalui projek penternakan lembu hibrid merupakan antara usaha strategik yang mampu membuka dimensi baharu kepada pergerakan itu.
Katanya projek ternakan lembu hibrid yang diperkenalkan itu merupakan yang pertama seumpamanya dalam pergerakan pengakap dan menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh Program Pengakap Berasaskan Komuniti.
Beliau berkata projek berkenaan perlu diuruskan secara profesional, berintegriti dan berteknologi tinggi agar dapat menjadi model institusi ekonomi komuniti yang mampan serta berimpak tinggi.
Dalam pada itu, mengenai Pengakap Berasaskan Komuniti, Ahmad Sabri berkata pergerakan pengakap di rantau Asia Pasifik memberikan fokus yang jelas kepada pembangunan belia di luar persekitaran sekolah melalui pendidikan tidak formal dan kesukarelawanan.
Beliau berkata langkah itu penting bagi menyantuni anak-anak muda di luar sistem persekolahan, termasuk belia di kawasan kampung dan taman perumahan bagi mengelakkan mereka daripada terjebak dalam gejala sosial.
Katanya PPM dan pertubuhan pengakap serantau lain di rantau Asia Pasifik kini diiktiraf di peringkat global kerana konsisten mempromosikan inisiatif kepelbagaian, keterangkuman serta program berimpak tinggi berasaskan alam sekitar seperti Scouts Go Solar.
"Di Malaysia sendiri usaha advokasi dan khidmat masyarakat tersebut diterajui secara agresif oleh pasukan Pengakap Kelana," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial