Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ahmad Zahid Cadang Penubuhan Badan Akreditasi Khas TVET Tanpa Jejas MQA, JPK

06/06/2026 06:38 PM

PUTRAJAYA, 6 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penubuhan badan akreditasi khas untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi menyelaras penilaian serta pengiktirafan bidang berkenaan, tanpa menjejaskan peranan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata cadangan itu dibuat memandangkan sistem sedia ada ketika ini memisahkan fokus antara akademik dengan kemahiran, manakala TVET memerlukan badan khusus bagi penyelarasan yang lebih menyeluruh.

"Oleh sebab kita mempunyai 1,395 institusi TVET, lebih baik jika akreditasi dibuat oleh satu badan khas tanpa mengganggu akreditasi yang dilakukan oleh MQA dan JPK yang ada sekarang. 

Ad Banner
Ad Banner

"Perkara ini sama dengan standard yang dilakukan oleh beberapa negara maju … kita dapati bahawa negara-negara berkenaan mempunyai badan akreditasi yang berbeza, dan ini boleh diikuti oleh Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Pusat Penempatan Badan Penyelarasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kerajaan–Industri (GITC) serta Forum Industri Berimpak Tinggi bersempena dengan Hari TVET Negara 2026 di sini, hari ini.

Mengulas perkembangan cadangan itu, beliau berkata perkara tersebut telah dibincangkan bersama-sama pihak berkaitan termasuk pada peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

"Saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah (Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman) dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (Datuk Dr Aminuddin Hassim) tadi, dan sebelum itu saya juga telah berbincang dengan Menteri (Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir), pada peringkat kerja, KSU saya (Datuk Seri Suriani Ahmad) akan membuat tindakan susulan dengan MQA dan JPK," katanya.

Ditanya kemungkinan terdapat lantikan baharu dalam badan akreditasi yang dirancang itu, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata tiada keperluan kerana struktur sedia ada sudah ada dalam sistem.

Menekankan perkara sama semasa ucapan pelancaran, Ahmad Zahid berkata cadangan penubuhan badan akreditasi khas itu merupakan sebahagian daripada agenda pengiktirafan khusus TVET bagi memastikan lepasan TVET memenuhi standard industri serta keperluan pasaran kerja.

Sehubungan dengan itu, beliau mahu Pusat Penempatan TVET GITC memainkan peranan penting sebagai jambatan nasional antara bakat dengan industri bagi memastikan proses penempatan latihan industri pembelajaran berasaskan kerja perantisan peluang pekerjaan serta pemadanan bakat dilaksanakan dengan lebih tersusun.

"Lebih penting daripada itu, saya mengharapkan Tan Sri Soh Thian Lai (Pengerusi GITC) … saya ingin melihat GITC menjadi instrumen untuk negara membaca keperluan sebenar pasaran pekerjaan untuk lepasan TVET," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata TVET kini bukan lagi sekadar agenda pendidikan, sebaliknya telah menjadi agenda nasional yang memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak termasuk kerajaan, industri dan institusi latihan.  

Beliau berkata ekosistem TVET perlu digerakkan secara bersama dalam satu kerangka yang lebih tersusun bagi memastikan perkara itu benar-benar berkesan serta selari dengan keperluan industri semasa.

“Dan ini hanya boleh dicapai jika kerajaan–industri dan institusi bergerak bersama dalam satu ekosistem yang tersusun,” katanya.

Sambutan TVET Negara 2026 diadakan selama tiga hari bermula semalam di Dataran Putrajaya di sini, dengan majlis perasmian dan pelancaran TVET 2.0 disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan