Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Intervensi Awal Bantu Malaysia Kekal Stabil - Hassan Marican

08/06/2026 10:03 AM

Oleh Soraya Jamal

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Kerajaan terus mengekalkan sokongan ekonomi secara menyeluruh bagi memastikan kestabilan pasaran, di samping memperluaskan bantuan bersasar kepada golongan yang paling terkesan akibat peningkatan kos sara hidup, sekali gus membantu rakyat menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang semakin mencabar.

Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) Tan Sri Mohd Hassan Marican berkata keupayaan Malaysia mengekalkan kestabilan ketika berdepan kejutan luaran adalah hasil intervensi awal yang tegas, penyelarasan dasar yang berkesan serta usaha berterusan untuk menjamin bekalan keperluan asas negara.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata kerajaan sentiasa bekerja secara intensif merentasi kementerian dan agensi bagi mengurus situasi semasa dengan teliti, selain memastikan kehidupan harian rakyat serta penyampaian perkhidmatan berjalan lancar.

“Dari peringkat Kabinet hingga jawatankuasa kerja dan agensi pelaksana, tumpuan diberikan kepada usaha mencari penyelesaian bagi mengurus dan mengurangkan kesan yang dihadapi,” katanya dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini.

PPPK yang beroperasi di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bertanggungjawab menyelaras tindak balas kerajaan terhadap krisis tenaga global yang tercetus susulan konflik di Asia Barat.

Mohd Hassan berkata mandat PPPK amat jelas, iaitu memastikan sumber kerajaan disalurkan kepada sektor dan kumpulan yang paling memerlukan bagi melindungi rakyat daripada tekanan ekonomi semasa.

“Ini termasuk memberi tumpuan kepada perlindungan keluarga rentan, memastikan rantaian bekalan kritikal terus berfungsi serta mengurus ketidaktentuan harga,” katanya.

Menurut beliau, pelbagai langkah penstabilan dan perlindungan yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan awal krisis bekalan global terhadap rakyat Malaysia.

Bagi membantu isi rumah, kerajaan memperkukuh program bantuan langsung seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), termasuk bantuan bulanan kepada isi rumah miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih.

Kerajaan turut mengambil langkah mengurangkan tekanan kos berkaitan bahan api menerusi pelaksanaan inisiatif seperti BUDI95, BUDI Diesel dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), selain menyalurkan sokongan bersasar kepada pemandu e-hailing, nelayan, pekebun kecil dan pengusaha sektor pertanian.

Selain bantuan kewangan secara langsung, pelaksanaan mekanisme kawalan harga, penguatkuasaan antipencatutan, program Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI terus membantu memastikan barangan keperluan asas kekal mampu milik serta mudah diperoleh.

Dalam sektor pengangkutan, inisiatif seperti Pas My50, diskaun tambang terpilih Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), kad perjalanan bulanan Express Rail Link (ERL) dan program FLYsiswa turut membantu mengurangkan kos perjalanan rakyat.

Pada masa sama, kerajaan melaksanakan beberapa langkah penjimatan termasuk pengaturan kerja dari rumah bagi sebahagian penjawat awam, waktu kerja fleksibel, insentif kecekapan penggunaan elektrik serta mempercepat pembangunan program tenaga boleh baharu bagi mengurangkan intensiti penggunaan tenaga dan meningkatkan daya tahan negara dalam jangka panjang.

Bagaimanapun, Mohd Hassan mengingatkan bahawa kestabilan relatif yang dinikmati negara ketika ini tidak seharusnya ditafsirkan sebagai ketiadaan risiko.

Beliau berkata kestabilan itu dicapai hasil intervensi awal kerajaan, kerjasama rapat dengan industri, hubungan diplomatik yang kukuh dengan negara rakan utama serta usaha berterusan mendapatkan saluran bekalan alternatif apabila diperlukan.

“Antara sebab gangguan besar terhadap kehidupan harian rakyat berjaya dielakkan setakat ini walaupun tekanan global berterusan adalah kerana kerajaan bertindak secara proaktif untuk mengurangkan impaknya terhadap rakyat dan mengekalkan kestabilan negara,” katanya.

Menurut beliau, ketika beberapa negara terpaksa mengisytiharkan darurat, melaksanakan catuan atau mengambil langkah drastik lain, Malaysia berjaya mengelakkan situasi sedemikian hasil penyelarasan awal yang membantu mengekalkan kestabilan dan keadaan normal.

Namun, beliau menegaskan sektor awam dan swasta perlu terus berwaspada kerana gangguan global yang berpanjangan atau lebih serius boleh meningkatkan tekanan terhadap bekalan, logistik dan kos, sekali gus mungkin memerlukan langkah penjimatan serta pengagihan sumber yang lebih ketat.

“Justeru, isu ini tidak boleh dilihat semata-mata sebagai persoalan subsidi. Tekanan kos sara hidup hari ini memberi kesan kepada isi rumah dari pelbagai sudut secara serentak, termasuk tenaga, makanan, pengangkutan, logistik, keselamatan pekerjaan dan ketersediaan barangan keperluan asas,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Hassan berkata cabaran kompleks itu tidak boleh diselesaikan melalui satu pendekatan sahaja, sebaliknya memerlukan penggemblengan seluruh negara bagi menghadapinya secara bersama.

Katanya ketika gangguan global yang berpanjangan terus memberi tekanan kepada rangkaian logistik dan bekalan input industri, pengurusan cabaran itu memerlukan intervensi proaktif kerajaan, disokong rakyat yang bersedia dan berdaya tahan serta kerjasama kukuh sektor swasta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan