Oleh Shaidathul Suhana Ros
KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkemahiran tinggi berpotensi menerima gaji lebih tinggi bergantung pada tahap kemahiran, produktiviti serta keperluan industri, menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata prinsip asas penentuan gaji bukan terletak pada kelayakan akademik semata-mata, sebaliknya pada nilai produktiviti yang boleh disumbangkan kepada majikan.
Beliau berkata majikan, khususnya syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma teknologi, bersedia membayar premium gaji untuk kemahiran teknikal tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) atau kejuruteraan pembelajaran mesin, keselamatan siber dan kriptologi, kejuruteraan data, tenaga boleh baharu serta sistem grid pintar.
"Namun, kesediaan itu bergantung pada beberapa faktor kritikal termasuk kebolehpasaran kemahiran, tahap kekurangan bakat, produktiviti, impak kepada hasil perniagaan serta penanda aras pasaran, selain kemahiran graduan benar-benar setara dengan keperluan industri dan bukan sekadar memiliki sijil latihan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Bagaimanapun, Syed Hussain berkata pasaran kerja Malaysia masih berada dalam fasa transisi dengan premium gaji lazimnya hanya ditawarkan dalam sektor yang telah matang dari segi teknologi.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata MEF menyambut baik hasrat kerajaan untuk memastikan graduan TVET berkemahiran tinggi di negara ini menerima gaji lebih baik selari dengan hala tuju ekonomi masa depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Sambutan Hari TVET Negara 2026 pada Sabtu lepas mengarahkan semua badan latihan serta penyelidikan kerajaan menyediakan program latihan dalam bidang baharu kepada pelajar TVET terpilih bermula Julai ini demi memperkasakan kemahiran pelajar aliran itu di negara ini.
Anwar berkata sekurang-kurangnya 50 hingga 100 pelajar TVET di setiap institusi terpilih akan diberi peluang latihan awal dalam bidang baharu dan berteknologi tinggi seperti AI dan kriptologi.
Perdana Menteri berkata langkah itu mampu mengangkat nilai pasaran lulusan TVET berkenaan dan berpotensi mengatasi pemegang ijazah sarjana muda, sekali gus membolehkan mereka menerima gaji lebih tinggi.
Senada dengan pandangan MEF, seorang felow kanan dan Pengarah Program Pengajian Ekonomi di Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia, Sunway University Prof Dr Yeah Kim Leng berkata Malaysia perlu melangkaui kelayakan akademik dalam menilai graduan TVET.
Beliau berkata kurikulum TVET di Malaysia sememangnya dirangka dengan penglibatan langsung pihak industri, merangkumi pembelajaran imersif serta latihan kerja berstruktur dengan kerjasama rakan industri yang membolehkan graduan menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan, serta menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan, inovasi dan produktiviti.
Yeah, yang juga Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia (PEM), berkata ganjaran untuk graduan TVET yang berkemahiran perlu mencerminkan sumbangan sebenar mereka kepada majikan, terutamanya apabila mereka secara konsisten menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang.
"Apabila graduan mempamerkan prestasi sedemikian secara konsisten, maka wajarlah diberi ganjaran termasuk gaji, pembayaran dan insentif yang lebih tinggi yang mencerminkan nilai sebenar mereka, bukan berdasarkan kelayakan semata-mata," katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keupayaan graduan TVET memperoleh gaji lebih tinggi bergantung pada pasaran buruh, selain tahap kemahiran serta kerencaman industri.
"Lazimnya, semakin kompleks tugasan dalam industri, semakin tinggi tangga gaji yang ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata usaha kerajaan memperkukuh TVET amat penting bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan dalam bidang seperti AI dan peralihan tenaga, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial