Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kawalan Kendiri Penting Bagi Pelaporan Insiden Bunuh Diri Secara Selamat - Fahmi

08/06/2026 06:33 PM

PUTRAJAYA, 8 Jun (Bernama) -- Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan undang-undang khusus bagi mengawal pelaporan kes bunuh diri, sebaliknya terus mengutamakan pendekatan kawalan kendiri oleh organisasi media dalam memastikan laporan berkaitan isu itu dibuat secara bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan mahu memberi ruang kepada pengamal media melaksanakan kawalan kendiri dalam aspek pelaporan dan etika kewartawanan.

“Jadi kita ingin mengambil sikap biarlah rakan-rakan media melaksanakan kawalan kendiri, bukan aksi tindakan daripada pihak kerajaan.

Ad Banner
Ad Banner

“Ini cara yang lebih murni, lebih ke depan, lebih progresif,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri, di sini hari ini.

Persidangan yang dihadiri wakil pengamal media, pakar kesihatan mental, badan bukan kerajaan dan pemegang taruh berkaitan itu dipengerusikan oleh Fahmi bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj serta Presiden Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Yong Soo Heong.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata hasil sesi itu akan dibawa kepada Jemaah Menteri melalui satu nota khas memandangkan beberapa cadangan yang dibangkitkan melibatkan kementerian lain selain Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata kerajaan juga bercadang bekerjasama dengan platform media sosial, pempengaruh serta organisasi media sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Mental pada Oktober ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu kesihatan mental termasuk bunuh diri.

Antara cadangan yang dibangkitkan dalam sesi meja bulat itu ialah penggunaan amaran pencetus  bagi laporan berbentuk video selain menyertakan maklumat mengenai saluran bantuan yang boleh dihubungi.

“Jadi saya harap rakan-rakan media boleh meneliti garis panduan dalam sidang redaksi masing-masing, dalam lembaga pengarang dan bilik berita masing-masing tentang perkara yang mungkin boleh membantu menangani isu ini,” katanya.

Mengulas cadangan supaya laporan berkaitan bunuh diri dihentikan sepenuhnya, Fahmi berkata pelaporan masih penting kerana ia berasaskan fakta, namun perlu dilaksanakan secara berhemah bagi mengelakkan berlakunya kes peniruan.

“Pelaporan tu penting kerana ia adalah berfakta, tetapi cara kita membuat pelaporan itu sangat-sangat penting,” katanya.

Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Media Malaysia, MPI dan Gabungan Kelab Media Malaysia yang menandatangani Ikrar Media Malaysia bagi memperkukuh amalan pelaporan yang lebih cermat dan bertanggungjawab.

Sementara itu, Dzulkefly berkata perbincangan meja bulat itu turut menyentuh kepentingan menggalakkan pelaporan yang lebih membina dan bertanggungjawab, termasuk mengangkat elemen yang boleh membantu individu mendapatkan sokongan serta bantuan.

"Jadi kecenderungan untuk tindakan punitive, ini perkara terakhir akan dilaksanakan kerajaan. Cumanya dalam hal perbincangan tadi kita dapati bahawa hal-hal yang terkait dengan yang membangunkan pelaporan positif, yang bertanggungjawab itu dapat juga kita hasilkan,” katanya.

Mengenai peranan petugas barisan hadapan seperti polis dan bomba, Dzulkefly berkata latihan serta prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengendalian kes bunuh diri akan terus diperkukuh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan