KUALA NERUS, 9 Jun (Bernama) -- Sebanyak 757,869 ekor anak penyu berjaya ditetaskan dan dilepaskan semula ke laut di Terengganu sepanjang tahun lepas, mencerminkan keberkesanan usaha konservasi marin negara dalam melindungi spesies terancam.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata kejayaan itu direkodkan menerusi Program Pengurusan dan Konservasi Penyu Terengganu, yang turut mencatatkan 13,180 sarang penyu agar dengan 1.07 juta biji telur berjaya dikumpulkan dan dieram pada 2025.
Beliau berkata kadar penetasan penyu juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila mencapai 71.07 peratus.
“Setiap anak penyu yang berjaya kembali ke laut merupakan harapan baharu kepada kelangsungan spesies ini, serta petunjuk kepada kesihatan ekosistem marin yang kita warisi dan pelihara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelepasan 570 ekor anak penyu, agar di Taman Laut Pulau Redang bersempena sambutan Hari Laut Sedunia 2026 yang mengangkat tema “Lindungi Laut, Lestarikan Perikanan,” di sini hari ini.
Adnan berkata Terengganu kekal sebagai lokasi persarangan utama penyu agar di negara ini dengan beberapa pantai signifikan termasuk Pantai Chagar Hutang dan Pantai Pasir Panjang di Pulau Redang, Pantai Rantau Abang di Dungun serta Pantai Geliga dan Pantai Ma’Daerah di Kemaman.
Selain penyu agar, Adnan berkata sebanyak 308 sarang tuntung laut dan 23 sarang penyu karah (Eretmochelys imbricata) turut direkodkan, sepanjang tahun lepas.
Beliau berkata usaha konservasi turut memberi limpahan kepada sektor ekopelancongan, apabila pusat konservasi penyu di Terengganu merekodkan 219,095 pengunjung pada 2025, termasuk 185,804 pengunjung ke Turtle Conservation and Information Centre (TCIC) Rantau Abang.
Beliau berkata sebanyak 186 program pendidikan dan kesedaran konservasi turut dilaksanakan sepanjang tahun lepas, bagi meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap kepentingan melindungi ekosistem marin.
“Melindungi penyu bermakna melindungi ekosistem marin, sumber perikanan dan warisan semula jadi negara untuk generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata sebanyak 32 hidupan liar melibatkan mamalia, unggas dan burung pemangsa dilepaskan sempena Hari Laut Sedunia.
Beliau berkata pelepasan itu melibatkan 22 ekor ayam hutan, empat pelanduk, dua landak serta empat ekor burung helang daripada tiga spesies iaitu helang merah, helang hindik dan white-bellied sea eagle.
“Program pelepasan hidupan liar itu merupakan sebahagian daripada usaha konservasi dan pemuliharaan biodiversiti negara selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan melindungi habitat semula jadi haiwan liar.
“Program pelepasan hidupan liar itu bukan perkara baharu, namun dilaksanakan secara berkala bergantung kepada lebihan atau surplus haiwan yang sesuai untuk tujuan species enrichment atau pengayaan spesies di habitat tertentu,” katanya.
Abdul Kadir berkata antara lokasi yang pernah menerima pelepasan spesies ialah Pulau Langkawi dan setakat ini hidupan liar yang dilepaskan dilihat mampu menyesuaikan diri dengan baik.
Beliau berkata kemandirian haiwan liar banyak bergantung kepada kewujudan sumber makanan, pasangan, habitat yang sesuai serta bekalan air.
Dalam pada itu, Abdul Kadir menyeru orang ramai agar bersama-sama memelihara kelestarian hidupan liar dengan menyalurkan maklumat kepada pejabat PERHILITAN berhampiran sekiranya mengesan aktiviti pemburuan haram, pemasangan jerat atau penggunaan racun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial