Oleh Nur Fadhliana Shaari
JOHOR BAHRU, 9 Jun (Bernama) -- Keprihatinan Kerajaan Negeri Johor dalam menyediakan persekitaran rawatan yang lebih selesa dan kondusif kepada golongan ibu dan anak di negeri ini diterjemahkan menerusi pemindahan (decanting) perkhidmatan berkenaan dari Klinik Kesihatan Sultan Ismail (KKSI) ke premis baharu di Mount Austin, di sini.
Selain perkhidmatan ibu dan anak, kemudahan pandu lalu bagi pengambilan ubat yang mula beroperasi secara rasmi di Mount Austin pada 15 Dis tahun lepas turut diperkenalkan bagi mengurangkan kesesakan di KKSI yang menerima antara 1,000 hingga 2,000 pesakit sehari.
Bagi suri rumah G. Ricneswari, 22, yang kini hamil lapan bulan, setiap pemeriksaan kehamilan kini menjadi pengalaman yang lebih selesa berbanding sebelum ini.
Wanita dari Desa Jaya itu berkata suasana yang lebih tenang dan kurang sesak membolehkannya menjalani pemeriksaan yang lebih lancar sambil ditemani suami dan ibunya.
Menurut bakal ibu kepada anak sulung itu, keadaan yang lebih kondusif membantu mengurangkan keletihan dan memberikan ketenangan sepanjang tempoh kehamilan serta selepas melahirkan anak kelak ketika mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.
“Yang paling penting bagi saya ialah keselesaan. Di sini sejuk, tidak terlalu ramai orang dan saya boleh datang bersama-sama ahli keluarga yang menemani saya sepanjang pemeriksaan,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.
Perasaan sama turut dikongsi suri rumah Anis Sofea Azharudin, 28, yang sedang menantikan kelahiran cahaya mata pertama.
Katanya, sebelum ini dia mendapatkan rawatan di KKSI, namun suasana di premis baharu di Mount Austin jauh lebih selesa kerana tidak perlu bersesak dengan pesakit lain.
“Di sana memang padat dan ramai orang. Di sini lebih selesa dan tidak perlu berebut atau menunggu terlalu lama. Sebagai ibu mengandung, keadaan seperti ini sangat membantu kami.
“Terima kasih kepada kerajaan Johor yang menyediakan inisiatif ini, yang bukan sahaja memberikan keselesaan, malah turut memudahkan urusan kami sebagai ibu bapa dan keluarga,” katanya.
Senada dengan itu, pembantu projek Najwa Hanim Sidek, 32, berkata kemudahan baharu itu bukan sekadar memberikan keselesaan fizikal, tetapi juga membantu menjaga emosi ibu mengandung.
“Kami cepat penat. Apabila tempat lebih selesa, tidak sesak dan mudah mendapatkan tempat letak kereta, tekanan dapat dikurangkan dan kami lebih tenang ketika datang untuk pemeriksaan.
“Tempoh menunggu juga lebih singkat berbanding sebelum ini dan perkara itu banyak membantu ibu mengandung seperti saya,” katanya.
Sementara itu, Kang Hsia Li, 28, yang hadir bersama-sama bayi berusia sembilan bulan berkata kemudahan tempat letak kereta yang mencukupi serta suasana yang lebih mesra keluarga memudahkannya mengurus anak-anak.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata dia pernah mendapatkan perkhidmatan di beberapa fasiliti kesihatan sebelum ini dan menyifatkan suasana di Mount Austin lebih selesa berbanding lokasi lain.
“Di sini tidak terlalu sesak. Paling utama, tempat letak kereta banyak dan tidak perlu berebut. Restoran di sekitar sini juga banyak, selain klinik mempunyai penyaman udara dan kerusi yang mencukupi. Apabila membawa bayi atau anak kecil, perkara seperti ini memang sangat membantu,” katanya.
Sementara itu, pesakit luar Chong Kim Seng, 62, yang menggunakan kemudahan pandu lalu bagi mendapatkan ubat kolesterol berkata urusan memperoleh bekalan ubat bulanannya kini jauh lebih mudah.
Chong berkata kemudahan itu mungkin kelihatan kecil, namun amat bermakna, terutama kepada warga emas dan pesakit yang perlu mendapatkan bekalan ubat secara berkala.
“Dulu saya perlu mencari parkir, mengambil nombor dan menunggu berjam-jam. Sekarang saya hanya menggunakan laluan pandu lalu dan biasanya selesai dalam masa kira-kira 10 hingga 20 minit sahaja. Jadi, ia sangat baik, terutama untuk golongan berusia seperti kami. Terima kasih kepada kerajaan Johor,” katanya.
Projek pemindahan Bahagian Ibu dan Anak serta Perkhidmatan Pesakit Luar Saringan atau Susulan (PPUSS) KKSI ke Mount Austin melibatkan kos pembinaan dan peruntukan berjumlah RM1.09 juta.
Menerusi pemindahan itu, Bahagian Ibu dan Anak kini mengendalikan kira-kira 200 pesakit sehari, manakala PPUSS menerima antara 200 hingga 250 pesakit sehari, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang dipindahkan kira-kira 400 hingga 450 orang sehari.
Sebanyak 33 petugas turut dipindahkan bagi menyokong operasi di premis baharu itu yang mula dibuka pada 15 Dis tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial